Monday, June 1, 2009

Rancangan Hiburan Hari Ini Banyak Lahirkan Golongan Dayus

Islam tidak sama sekali tidak mengharam atau menghalang manusia untuk berhibur, kerana ia adalah keperluan bagi menenangkan jiwa atau fikiran yang berserabut dengan tugasan harian atau bagi meredakan tekanan akibat terlalu banyak menunaikan tanggungjawab pada diri dan keluarga.

Suami ada tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak dan sebaliknya isteri juga ada tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak, perkara yang boleh menghilangkan seketika tentang kepayahan melaksanakan tanggungjawab masing-masing, begitulah setiap insan di dunia ini akan mengalami keadaan yang serupa.

Maka hiburan adalah ubat atau penawar terbaik bagi mereda, menghilang serta menyisihkan keserabutan ketika menjalankan tanggungjawab, tetapi hiburan itu tidak sama antara seorang individu dengan individu yang lain, kaedah berkesan bagi generasi terawal di kalangan para sahabat dan tabi'in menghilang stress atau apapun namanya, ialah dengan membaca atau menghafaz Al-Quran. Ini kerana bagi mereka Al-Quran adalah penawar, penghibur, penghilang rasa duka, kecewa, penat, stress dan sebagainya, ia menunjukkan bahawa generasi awal melihat Al-Quran sahajalah satu-satunya ubat berkesan untuk tujuan tersebut.

Tetapi ia tidak kepada segenap generasi hari ini, mungkin terdapat di kalangan muslim hari ini yang menjejaki amalan orang-orang yang terdahulu daripada, itupun yang sentiasa menghubungkan diri dengan program-program masjid atau surau, yang mengikuti panduan dan motivasi penceramah yang mengingatkan mereka untuk berbuat demikian.

Akan tetapi bagi yang tidak menghubungkan diri dengan rumah-rumah Allah, mereka tidak nampak dan tidak ada dalam minda mereka penawar duka ialah Al-Quran, tetapi mereka memilih dengan hiburan yang tidak sama sekali mencerminkan kebaikan sama ada untuk agama atau diri mereka sendiri. Maka bagi penghibur atau selebriti, mereka memilih hiburan yang tidak mencerminkan ciri-ciri tamadun yang telah digaris pansukan oleh Al-Quran mahupun Sunnah Nabi Muhammad SAW, maka muncullah program-program realiti yang kononnya sifatnya menghiburkan penonton, sama ada di rumah ataupun di studio, apapun ia sedikitpun tidak mencerminkan cara berfikir para peserta dengan ajaran Islam.

Sebagai contoh, pasangan suami isteri yang terlibat dalam rancangan malam 'Sehati berdansa' yang menampilkan pasangan suami isteri menari di hadapan khalayak ramai tanpa memakai tudung kepala atau pakaian yang jelas menutup aurat dengan sempurna. Dalam sesi latihan tangan isteri selebriti tertentu dipegang oleh pakar jurutari lelaki bagi menunjukkan cara yang betul kononnya tarian yang sempurna mengikut rentak muzik, dengan pendedahan aurat dan menampakkan rupa bentuk badan, apakah mereka tidak merasakan bahawa tindakan itu sebahagian daripada ajaran Rasulullah SAW?

Tidakkah sang suami merasakan bahawa tangan isteri dipegang oleh lelaki yang bukan mahramnya, dada dan tubuhnya dilihat oleh mereka yang tidak dibenarkan itu satu kesalahan yang disifatkan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai suami yang dayus? Sesungguhnya orang-orang yang dayus tidak mendapat tempat di sisi Allah dan Rasul-Nya pada hari kiamat, tidakkah mereka merasa takut akan diheret dan diseret di hadapan mahkamah Allah pada hari di mana segenap manusia sedang menunggu giliran untuk diperhitungkan amalan-amalan mereka?.

Justeru, marilah kita sama-sama melihat dengan pandangan makrifat ketegasan sabda Nabi Muhammad SAW seperti di bawah ini dengan kedudukan hadith yang sohih :

Hadis pertama : Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan dari dikenakan azab) mereka di hari kiamat : Si penderhaka kepada ibu bapa, wanita yang menyerupai lelaki dan si lelaki DAYUS? ( Riwayat Ahmad & An-Nasaie: Albani mengesahkannya sahih: Ghayatul Maram, no 278 ).

Hadis kedua : Tiga yang telah Allah haramkan baginya Syurga : orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan Si Dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya ( Riwayat Ahmad ).

Malah banyak lagi hadith yang membawa makna yang hampir dengan dua hadis ini. Secara ringkasnya, apakah dan siapakah lelaki dayus. Dayus telah disebutkan dalam beberapa riwayat Athar dan hadis yang lain iaitu Sabda Nabi : Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah SAW berkata : "Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu Si DAYUS, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak. Lalu sahabat berkata : Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu DAYUS? , berkata nabi : Iaitu orang yang tidak memperdulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya) - Riwayat At-Tabrani ; Majma az-Zawaid, 4/327 dan rawinya adalah thiqat.

Dari hadis di atas, kita dapat memahami bahawa maksud lelaki DAYUS adalah si suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan ambil endah dengan siapa isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja isterinya dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh sebarangan lelaki lain.

Pernah juga diriwayatkan dalam hadith lain, soalan yang sama dari sahabat tentang siapakah dayus, lalu jawab Nabi maksudnya : Apakah dayus itu wahai Rasulullah ? Jawab Nabi : Iaitu seseorang ( lelaki) yang membiarkan kejahatan ( zina, buka aurat, bergaul bebas ) dilakukan oleh ahlinya ( isteri dan keluarganya). Dinukil sebahagian pendapat daripada pandangan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman.

Apapun jika diri kita masing-masing mahukan pertolongan dan bantuan Rasulullah s.a.w. pada hari kiamat, tiada jalan lain yang lebih mujarab melainkan kita akur dan menerima segala apa yang disampaikan oleh baginda Rasulullah s.a.w., kerana ketundukan kita kepada arahan baginda adalah juga menunjukkan kita tunduk kepada arahan Allah SWT sepertimana yang ditegaskan-Nya menerusi ayat 80 surah an-Nisa' yang bermaksud : "Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka Sesungguhnya dia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita Wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan)".

Hasil Nukilan: Ustaz Zainudin Hashim

Apa Khabar Tuan Haji?

Hasil Nukilan: Azizi Hj. Abdullah, Azmi Abd Hamid, Mohd Ridzuan & Zarinah Osman

Dari seramai 26,000 jemaah haji tahun lalu, iaitu 0.1 peratus dari 26 juta rakyat Malaysia yang dibenarkan oleh Arab Saudi mengerjakan haji, pastinya pulang dengan satu kepuasan dan kelegaan kerana rukun kelima sudah pun tertunai. "Aku puas. Setiap kali aku tawaf, aku dapat kucup Hajarul Aswad. Aku tak kira, aku sigung Tok Arab. Mana boleh bagi can" kata seorang lelaki sebaya 40-an, berbadan tegap sasa ketika sebaik-baik saja dipeluk oleh seorang rakannya di rumahnya di Taman X, sekembali dari Makkah.

"Tak banyak. Serban dua puluh helai. Kopiah putih dua puluh. Jubah Duffah lima helai. Minyak wangi Malikussubuh adalah sepuluh kotak. Air zam-zam 10 liter. Hajjah aku tu, sempat juga beli paun emas sebesar syiling lima kupang," beritahu Haji Kasa dari Sungai Mas kepada Haji Dahaman yang ke Makkah lima tahun yang lalu.

"Lima kali dah aku ke Makkah, tak macam tahun ni. Tahun ni kedai jualan habis kena runtuh. Hiii, susah orang nak beli-belah. Aku berkelahi dengan Tok Arab yang cuba nak tipu aku. Kalau tak sebab dekat Makam Ibrahim, aku tentu sepak!" Haji Husin yang sudah lima kali ke Makkah bercerita kesamsengannya sewaktu bergeser dengan Arab Badawi ketika tawaf.




Kenduri kesyukuran

Tiga cerita di atas adalah lumrah setiap tahun bagi jemaah haji yang baru pulang. Selalunya ketika membuat kenduri kesyukuran kerana pulang dengan selamat, cerita-cerita begini didedah untuk membuktikan seseorang itu bukan 'jakun sangat' berada di Makkah.

Itu tidak lagi cerita bagaimana mereka bertolak-tolak ketika tawaf, mencium Hajarul Aswad. Tidak bercerita lagi bagaimana marahnya, dengan maki hamun, kerana hanya hilang sepasang kasut di Masjidil Haram dan marahkan kepada pengawal masjid kerana tidur di tingkat atas. Itu tidak dicerita lagi bagaimana berebut tolak-menolak hendak berada di Raudah.

Tak seorang pun yang pulang yang kita dengar bagaimana dia menangis, bermunajat di Arafah atau ketika di Jabal Rahmah memohon kepada Allah agar memberi kemenangan kepada umat Islam yang tertindas di Palestin. Tak ada seorang pun yang bercerita bagaimana ada satu kegiatan menginfakkan wang ringgit bagi menolong umat Islam yang jadi mangsa kekejaman Zionis. Makkah, bagi mereka, adalah kesempatan yang perlu dilakukan ialah amalan khusus untuk diri sendiri. Hal-hal umat Islam di seluruh dunia dinyahkan begitu saja.

Malah ribuan yang bertalbiah, hanya sekadar bertalbiah untuk mendapat ribuan pahala dan lain-lain amalan khusus dalam bentuk kepentingan peribadi. Tidak ada amalan dalam bentuk kepentingan umat Islam.

Ketika mereka menadah tangan berdoa, kebanyakannya menadah meminta keampunan, kebahagiaan diri dan keluarga. Kalimah Muslimin-Muslimat hanya terucap kerana kalimah itu ada dalam doa. Ia bukan bacaan yang penuh dengan penghayatan. Bagi mereka, biar mereka saja masuk syurga. Pedulikan sangsara dan nasib buruk umat Islam yang lain.

Yang demikian, ketika berada di lapangan terbang Jeddah atau dari Madinah atau ketika tawaf wida', meledaklah apapun berita tentang Palestin, di Gaza atau di Mindanao, mereka tidak peduli. Yang penting air zam-zam mesti sampai ke tanah air untuk diberi kepada jiran-jiran disamping menjadi penawar untuk anak-anak lulus peperiksaan.

Hal-hal di atas bukanlah satu gambaran buruk atau satu sangka buruk. Ia adalah tradisi yang sukar diubah. Haji bagi mereka yang digambarkan di atas adalah ibadah yang sangat penting tetapi penuh dengan kepentingan diri dan peribadi sedangkan falsafah mengerja haji lebih jauh daripada tujuan itu.

Lima kali mengerjakan haji dengan wang yang direngkuh mengumpulnya, mereka tetap beranggapan belanja ke Makkah tetap mendapat berkat Kaabah dan Makam Nabi walaupun di sisinya ada seorang Palestin yang kudung kakinya atau jiran di rumahnya ketandusan wang hendak menghantar anaknya belajar ke Azhar.

Apakah 0.1 peratus jemaah haji kita dari 26 juta rakyat Malaysia yang baru pulang sedar tentang punggung King Saudi disumbat pisang oleh Amerika atau pendapatan berjuta atau berbilion pound hasil dari cukai jemaah haji sedunia, tidak pernah mengalir ke daerah Palestin yang sangsara?

Apa khabar tuan haji?

Ketika soalan ini dilontar, kebanyakannya akan menjawab, baik dan insya-Allah lambaian Kaabah akan berulang, sedang lambaian tangan anak-anak Palestin yang kudung dan kibaran bendera Hamas tidak pernah ada dalam kehangatan udara Makkah ketika itu. Sesunggunnya ibadah haji memiliki banyak dimensi dan ia sangat mencabar. Ada banyak perkara yang dilupakan dan para tuan guru sering mengabaikan huraian ini kerana kalut dengan doa-doa mustajab di makam Ibrahim.

Apa khabar tuan haji?

Sayang pertanyaan ini tidak dijawab oleh agen-agen dan pemimpin yang memiliki pengetahuan agama. Tidak pernah timbul bahawa haji adalah satu perjalanan dalam mematuhi serta kesedaran tindakan keingkaran politik terhadap taghut, penjenayah kemanusiaan dan bendera agama yang dikoyak. Tidak pernah disedari ketika mengusung air zam-zam atau karpet dari Iran bahawa haji adalah perjuangan berterusan terhadap godaan kebendaan. Tidak ada dua dari sepuluh jemaah kita rasanya yang bertemu dengan jemaah Palestin atau Afghanistan bertanya khabar berapa batang tubuh yang telah direbahkan oleh Amerika di Afghanistan, di Iraq atau kebuluran di Sudan.

Talbiah hanya sekadar laungan memenuhi perjalanan dan bukan satu laungan kesedaran. Ehram hanya sekadar dipakai kerana itu syarat dan bukan satu sentakan kesedaran bagaimana yang sepatutnya ada di dalam hati.

Apa lagi apabila berada di Arafah, di Mina. Satu perhimpunan raksaksa yang tidak ada taranya. Tetapi untuk apa perhimpunan seperti itu? Lalu masing-masing mencebik mulut apabila kembali ke tanah air bilamana ada kawan mengajak sama-sama demonstrasi membantah kedurjanaan kuffar. Bagi mereka, perhimpunan di Arafah hanya perintah, tidak ada falsafah atau hikmah daripada perhimpunan itu. Bagi mereka perhimpunan bererti menentang kerajaan.

Pernah adakah ingatan di dalam kepala ketika bertalbiah betapa seorang Yahudi menembak seorang budak atau sebuah kereta perisai memusnahkan sebuah masjid?

Apa khabar tuan haji?

Tuan haji akan bercerita, di Masjidil Haram solat tidak pernah susut setiap waktu. Di Masjid Nabawi setiap waktu tidak punya ruang kosong. Jemaah Malaysia pun berdoa dengan lenangan air mata. Tetapi tak seorang pun sedar bagaimana Sayed Hasan Nasrallah merayu Muslim sedunia berdoa menyelamatkan umat Islam yang dizalimi oleh Israel, umat Islam yang ditindas.

Tidak pernah tersedar ketika berdiri sesak, serentak bertakbiratul ehram, dengan sentuhan bahu-bahu dan berlaga siku, umat Islam sebenarnya telah membuat kenyataan politik; kita semuanya sama. Kita semuanya berkewajipan. Kita semuanya bersaudara. Dan kita sama-sama berikrar hidup mati hanya kerana Allah. Tapi apa yang berlaku, sekilo kurma atau sebotol minyak Atar bagi mereka lebih mahal daripada sebiji peluru Israel.

Apa khabar tuan haji?

Lebih jauh untuk menjawabnya, rombongan yang pulang tetap dengan jamuan syukur bersama kurma Madinah, kismis, buah ara lepong dan kacang cerdik. Pedulikan rayuan derma, seringgit dan boikot barangan Amerika. Tidak tersedar pun, ketika menjadi tetamu Allah di hadapan Kaabah, sesungguhnya ada halangan secara tidak langsung terhadap umat Islam yang lain untuk menjadi tetamu Allah.

Sebahagian umat Islam yang lain sebenarnya telah dihalang oleh penjaga Haramain - keluarga yang sekian lama menjadi pembodek Amerika. Lalu merekalah yang menghadkan, membuat kuota. Alasan mereka mudah. Mereka tidak mampu membenarkan semua umat Islam menjadi tetamu Allah kerana mereka tuan punya bumi Makkah dan berhak membuka atau menutup pintu Haramain.

Tetapi dalam masa yang sama, mereka membenarkan Zionis dan pembelasah kemanusiaan masuk dengan sikap kurang ajar di setiap penjuru tanah umat Islam dan membiarkan kaki kuffar menginjak masjid-masjid. Mereka tidak merasa apa-apa betapapun Al-Aqsa dilontar najis.

Mereka memiliki sempadan tetapi menutup pintu. Mereka tidak berkata 'jangan masuk' tetapi mereka mengunci pintu itu rapat-rapat. Tak seorang pun sedar apa yang dilakukan oleh Husni Mubarak dan tidak pula pernah marah tentang diamnya King Abdullah di Saudi. Yang pulang setelah bergelar haji, masih mendewa-dewa itulah Raja Mekah yang penuh barakah yang mengsedekahkan syafaat mereka. Mereka gelisah apabila air zam-zam hilang di terminal atau serban tidak cukup untuk sedekah dari nama Obama. Mereka tidak tahu pun siapa betina Rice atau Olmert.

Apa khabar tuan haji?

Jawapan memang sedap didengar. Tetapi tidak ramai yang sedar haji yang bermula dengan sejarah para Nabi-Nabi termasuk Ibrahim. Tak tersedar pun tentang Ibrahim ketika di makamnya, betapa Ibrahim merengkuh tenaga dan perjuangannya menentang taghut sehingga dia dibakar. Tak terdengar pun sebahagian yang pulang bersedia menentang taghut seperti Ibrahim.

Apa khabar tuan haji?

Kami tidak pernah doa di Multazam atau di Safa atau di Raudah untuk memenangan perjuangan Islam. Kami memang berdoa tetapi untuk kebahagiaan kami sendiri. Kami mahu masuk syurga dan balik nanti kami mahu 24 jam di penjuru masjid. Kami tak mahu lagi sertai pergerakan massa. Kami tidak mahu lagi berjuang. Kami mesti wirid banyak-banyak.

Ada tong-tong derma untuk membantu perjuangan umat Islam tidak perlu diendah. Yang penting duit mesti dikumpul untuk haji dua tahun lagi. Buat apa pedulikan tentang pergerakan ummah bagi mempertahankan umat Islam di tempat lain. Haji kami tidak ada sangkut paut dengan penduduk Palestin, tidak ada kaitan dengan Zionis. Haji kami pedulikan Iraq, Afghanistan, Khasmir. Haji kami bukan penggerak ummah.

Apa khabar tuan haji?

Tahun depan kami akan pergi sekali lagi dan Alhamdulillah jika dapat mengucup Hajarul Aswad. Pedulikan martabat agama yang diperjuangkan. Pedulikan bahasa dan masalah PPSMI. Anak kami sudah besar, masakan mahu sibuk dengan PPSMI sekolah rendah dan menengah.

Thursday, May 21, 2009

Selamat Hari Ibu Buat Bonda....


Selamat Hari Ibu...

Buat Bonda Hajjah Zaharah Haji Ahmad & Bonda Mertua Hajjah Zabedah Ali.

Kalian amat disanjungi. Semoga Allah SWT memanjangkan umur dengan diberikan kesihatan yang sempurna bagi memudahkan mengerjakan ibadah kepadaNya.

Selamat Hari Lahir....Anakku



Buat anak-anak..
Qinawy (22 Mac 2008) dan Qarihah (2 Mei 2001)
Ucapan Selamat Hari Lahir dari ayahanda untuk anakanda berdua...
Walaupun ucapan ini agak lewat diutarakan namun ayahanda harapkan anakanda berdua selamat menempuh ke alam kehidupan yang bakal mencabar...Kehadiran anakanda memang menambah keceriaan dalam kehidupan kita sekeluarga.

Salam sayang.

Thursday, March 5, 2009

Satu Persoalan....




Hari Isnin, 9 March 2009 @ 12 Rabiul Awal 1430H adalah merupakan cuti umum bersempena sambutan hari kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Hari cuti umum begini kebiasaannya akan dipenuhi dengan program-program perarakan, ceramah dan pelbagai lagi yang dianjurkan oleh pihak jabatan agama atau mungkin pihak masjid/surau setempat. Sambutan dari masyarakat setempat dilihat memang amat memberangsangkan. Di peringkat kebangsaan, berkemungkinan akan dipenuhi dengan konsert-konsert 'amal' atau nyanyian sang artis melalui konsert terbuka atau melalui corong radio dan TV.

Itulah kita. Tiada beza antara kita dan Abu Lahab. Kemeriahan sambutan mungkin tiada tandingan... yang berbeza cuma cara lakonan kita. Persoalannya... Apakah setiap majlis yang dianjurkan berjaya memenuhi harapan kita untuk menambahkan rasa cinta dan sayang kita pada Utusan Allah, insan terpilih yang telah membawa rahmat ke seluruh alam? Adakah kita benar-benar kenal akan Rasulullah, zuriat keturunan dan ahli keluarganya? Tindak tanduk kita bagaimana? Suatu yang perlu difikirkan sejenak.

Pengalaman mengerjakan ibadah haji dan umrah tidak banyak membantu menambahkan koleksi ilmu tentang Siti Fatimah RA anak kesayangan selaku ketua wanita di syurga, Saidiana Ali KW selaku menantu yang merupakan pintu segala ilmu, Saidina Hassan dan Saidina Hussin cucu kesayangan selaku ketua pemuda di syurga. Berbagai persoalan timbul. Kenapa dalam banyak-banyak tempat ziarah tidak kira di Mekah Al Mukharamah atau di Madinah Al Munawarah, ustaz-ustaz atau pelajar Malaysia yang diberi tugas selaku tour guide jarang sekali mengkhabarkan golongan ini. Di mana kubur Siti Fatimah? Di mana tempatnya Saidina Ali sebagai pencatat perjanjian Hudaibiyah? Sedangkan Rasulullah SAW menyuruh kita menyayangi keluarganya ataupun Alhul Bait yang dibersihkan segala dosa dari mereka seperti firman Allah dalam surah As Syura, ayat 23

"Itulah yang dikhabarkan Allah untuk mengembirakan hamba-hambaNya yang beriman dan mengerjakan kebajikan. Katakanlah (Muhammad), 'Aku tidak meminta kepadamu sesuatu balasan pun atas seruanku kecuali kasih sayang pada keluargaku'. Dan barangsiapa yang mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan kebaikan baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, Maha Mensyukuri"

"Dan laksanakanlah solat, tunaikan zakat dan taatlah Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu wahai Ahlul Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya" Surah Al Ahzab, ayat 33.

Hasil pembacaan juga tidak banyak yang mencatatkan hadith-hadith yang telah diriwayatkan oleh mereka ini. Terfikir juga, apakah ahli keluaraga Rasulullah kurang meriwayatkan hadith-hadith atau memang ada tangan-tangan hitam dikalangan pemimpin kerajaan Islam dahulu dan sekarang yang cuba menutup atau menyembunyikan kisah Ahlul Bait ini. Tapi apa tujuannya? Jika berpeluang mengkaji sejarah atau menonton kisah 'Imam Hussain : Tragedi Karbala' pasti akan sedikit terungkai persoalan tersebut.

Pengajian kita tentang sejarah Islam berkemungkinan telah di putarbelitkan. Apa tidaknya. Kita telah difahamkan bahawa Khalifah Muawiyah adalah salah seorang pencatit wahyu, sedangkan beliau memeluk Islam pada ketika berumur 53 tahun serta merupakan seorang ahli politik dan orang yang mengistiharkan perang dengan Ahlul Bait, Saidina Ali, sehingga terbunuh pada ketika pemerintahan Khalifah ke 4 tersebut. Malahan Muawiyah telah mewarisi pemerintahannya kepada anaknya Yazid yang telah mengarahkan Saidina Hussain dibunuh di Karbala' dan kepalanya di bawa ke Khuffah sebagai bukti.

Pernahkah kita terfikir kenapakah pemerintahan Khalifah Islam sering bertukar lokasi dari satu tempat ke satu tempat sedangkan Rasulullah SAW telah mengasaskan pusat pentadbiran di Madinah. Tidak lain hanyalah merupakan satu cubaan menutupi agenda tersembunyi pemerintah ketika itu berhubung Ahlul Bait yang memang dikenali oleh penduduk Madinah yang telah dianggap oleh pemerintah sebagai golongan pemberontak. Ahlul Bait pemberontak? Sedangkan Allah SWT memuliakan mereka.

Jika kita renung kembali sejarah pasti terfikir. Mengapa empat (4) Imam Mazhab yang terbesar pun pernah diseksa oleh pemerintah yang bergelar Khalifah Islam? Ada yang di atas alasan menolak jawatan yang ditawarkan untuk menjadi Mufti. Mana rasionalnya?

Tapi itulah permasalahannya. Bagi kita yang hendak mengetahui lebih lanjut tentang Ahlul Bait terutama sekali Saidina Ali KW akan dengan mudah sekali dicop oleh segolongan pihak sebagai SYIAH. Sedangkan syiah itu bermaksud pengikut. Siapa yang mula melabelkan?

Ada khabar-khabar yang diterima mengatakan bahawa keluarga beraja berketurunan Saud selaku penjaga dua kota suci ini adalah merupakan susur galur dari keturunan pemerintahan Khalifah Muawiyah dan Yazid. Satu Persoalan....


Tuesday, March 3, 2009

Nilai Manusia


"Selagi hayat dikandung badan. Jangan sekali dikau lupakan. Perintah Rasul dan perintah Tuhan. Itulah tugas setiap insan. Jika kita melupakan, perintah Tuhan kau abaikan. Jangan sekali kau harapkan bahagia di dunia yang fana. Apa erti hidup ini... jika tiada taqwa dan iman". Itu adalah petikan dari lagu nyanyian Ahmad Jais yang acapkali tersiar dalam radio IKIM.fm setiap kali menjelang masuk waktu Maghrib.

Jika kita selalu menelaah Al-Quran ataupun hadith Nabi Muhammad SAW berserta dengan terjemahannya, pasti kita akan temui ayat-ayat yang memperingatkan kita selaku hamba kepada Allah. Ayat 20, Surah Al Anfal "Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu pada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berpaling dariNya sedang kamu mendengar (Al-Quran yang mewajibkan taatnya)".

Kita semua mengakui bahawa hanya Allah saja Pencipta, yang menciptakan manusia sebaik-baik kejadian makhluk sebagaimana firmanNya,
"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)" Surah At Tin, ayat 4.

"Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa" Surah Al-Baqarah, ayat 21.

Berbanding kejadian kita selaku manusia dengan makhluk lain seperti haiwan, memang kelebihan terserlah pada manusia. Tak tahu pulak Bang Aji jikalau ada manusia yang berkata sebaliknya. Sebab kelebihan pada kita manusia ialah kita berakal. Kerana jika kita bandingkan otak yang kita miliki dengan otak haiwan seperti lembu atau kambing nescaya tidak laku atau tiada nilai. Otak haiwan bila dimasak memang sedap untuk dimakan, lebih-lebih lagi otak lembu atau otak kambing, bak kata orang nogeri..."Buat masak lemak cili padipun sodap..."

AKAL. Itulah harta bernilai yang ada pada manusia sebelum memperolehi iman dan taqwa. Kerana syarat berakallah yang mewajibkan kita untuk bersolat, berpuasa dan menunaikan kefardhuan haji tetapi tidak merupakan syarat untuk menunaikan zakat. Macam kita belajar di waktu sekolah dahulu, syarat menunaikan solat salah satunya adalah berakal, orang gila tidak wajib. Oleh yang demikian, jika kita lihat manusia tidak menunaikan tanggungjawab ibadah solat, berkemungkinan mereka ini jatuh kepada kategori 'orang gila'. Kemungkinan yang mungkin ada kebenarannya.

Dengan berakal, Allah SWT memuliakan manusia. Darjat kemuliaan kita akan berada di tahap yang lebih tinggi jika kita menggunakan akal untuk menundukkan hawa nafsu, berkemungkinan lebih hebat dari para malaikat. Akan tetapi jika kita gagal menggunakan akal dengan menurut hawa nafsu, maka kita akan lebih buruk berbanding dengan syaitan. Itu kelalaian.

Kita kebiasaanya boleh bersolat, berpuasa, berzakat, kerjakan haji, berniaga dan sebagainya mengikut Islam, tetapi bukan semua di kalangan kita yang hendak berjuang mengikut citarasa Islam. Itu tanda hati kita sakit. Perlukan penyucian.

"Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat. Oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, dia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur serta berkata dengan sombongnya; Tuhanku telah memuliakan daku" Surah Al-Fajr, ayat 15.

Nikmat yang Allah SWT beri pada kita perlulah kita rasa sayang, terutamanya nikmat Islam. Cuba kita renungkan kehebatan yang Allah anugerahkan di hadapan kita. Lihat kejadian lebah. Walau sebanyak mana madu yang disedut dari bunga...bunga tidak rosak. Lihat kejadian mata manusia. Mata kita terbuka bila sedar tetapi Allah tetapkan tertutup bila tidur. Lihat kejadian buah pinggang manusia. Mencuci tanpa henti..Lihat lagi kehebatan yang Allah bagi pada jantung kita. Jantung sentiasa berjalan walaupun kita tidur, jantung sentiasa berjalan bila kita bangun dan bergerak. Cuma jantung kita akan berhenti...bila kita yang 'jalan' @ lain maksud...meninggal dunia. Kerana maut datang tidak menurut masa kita. Ia akan hadir di antara nafas yang disedut dan nafas yang dihembus. Di antara mata kita pejam dan celik. Kita lalai lagi...

"Dan apabila kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur) dan apabila dia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar" Surah Fusshilat, ayat 51.

Berapa ramai yang akan ikut bila kita mati? Anak pinak, isteri/suami, pangkat, harta semuanya mengiringi sampai ke kubur sahaja. Menunjukkan bekalan amalan amatlah penting. Takut pada makhluk seperti harimau atau singa atau binatang buas. Hendaklah kita lari jauh daripadanya. Akan tetapi takut kita pada Allah SWT, hendaklah kita menghampiri dan dekat padaNya.

"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri, padahal kamu semua membaca kitab Allah, tidakkah kamu berakal?" Surah Al-Baqarah, ayat 44.

TAKUTLAH pada ALLAH BUKAN LAWAN PERINTAH ALLAH. Itulah nilai manusia...Iman dan taqwa.



Thursday, February 26, 2009

Cerpen 2 : Aku Mahu Pulang


Sesampainya aku di rumah, isteriku telah bersiap sedia menanti di ruang tamu. Sambutan yang aku terima sejurus aku masuk ke rumah memang telah diduga dari awal, tidak memberangsangkan. Iya lah, lewat... tidak sebagaimana yang aku janjikan. Bukan aku sengaja nak balik lewat. Lagipun bukan aku sorang yang guna jalan dari KL balik ke rumah. Itu kata hati aku.

Dalam keadaan bersalah, aku hanya mampu memberikan senyuman termanis sambil aku sapa isteriku. "Sorry ye yang! terlewat lak..abang mandi dulu ye. Lepas ni kita terus keluar makan. Suruh anak-anak siap. Alah! 5 minit ja" kataku bertujuan membeli jiwa isteriku. Sambil aku berlalu sempat aku menjeling pada isteriku...mak datuk! masamnya mengalahkan cuka..Tanpa berlengah, aku bergegas berlari-lari anak terus ke bilik tidur.

Kadangkala bila aku fikirkan sikap isteri terhadap aku...memang memilukan. Pedihnya memang cukup berbisa. Dan kekadang tercabar kesabaran aku...mahu saja aku lupakan semua. Tapi... segala perasaan kasih sayangku padanya... melebihi diriku. Dah lebih 20 tahun aku kenal isteriku, Sheila. Tamat saja dapat diploma, aku terus mohon untuk sambung belajar ke peringkat ijazah dengan universiti luar negara. Tak sampai dua bulan, aku dikehendaki untuk lapur diri. Kebetulan masa aku mula jejak kaki di airport, ada sekumpulan pelajar Malaysia yang sambut. Itulah detik mula perkenalan aku dengannya.

"Hai! I'm Sheila" katanya. Aku pun menyambut salamannya. "Err..Shahidan. You boleh panggil I Dan atau Danny je. Nama glamer" aku senyum. Dia pun menguntum senyuman padaku. Mungkin dia nampak muka aku agak kelakar ketika itu...gaya rockers. Dari cara dia berpakaian aku rasa dia tentu anak orang berada, berbanding dengan aku...orang kampung. Perbualan aku tidak tamat di situ saja. Rupanya dia satu universiti dengan aku...junior setahun. Rumah sewa aku pun kebetulan memang berdekatan, jadi dapatlah aku berjumpa dengannya selalu. Cuma dia telahpun mempunyai teman lelaki yang istimewa.

Namun demikian, hubungan aku dengannya semakin bertambah akrab. Kebiasaannya aku merupakan tempat untuk dia meluahkan permasalahan tentang hubungannya dengan teman lelaki. Aku jadi tukang pendamai antara mereka. Dalam asyik melayan karenahnya, aku sendiri lupa tentang 'teman mesra' aku di tanahair, Nina. Sudah lama aku tak menghubunginya. Alasan yang selalu aku beri...sibuk, sibuk, busy, rushing...bla bla bla. Ah!! Kalau ada jodoh kita jumpa. Itu ungkapan aku yang terakhir. Mak dan ayah aku pun boleh dikira dengan jari aku hubungi mereka.

Lama kelamaan aku semakin intim dengannya. Tambahan bila dia putus hubungan cintanya dengan teman lelaki. Bertambah mesra aku dengannya. Pulang ke Malaysia waktu bercuti semester bulan Jun, aku menyatakan hasrat hatiku padanya. Lagipun aku telah lama tertarik hati melihatkan wajahnya yang ayu, sikap manja, lemah lembut tapi tegas berpendirian. Tidak aku duga, cinta aku disambut, malah keluarganya menyarankan agar kami berkahwin saja bagi mengelak perkara yang tidak diingini dari berlaku. Aku dan dia turut saja kehendak orang tuanya. Lagipun, aku akan tamat pengajian pada hujung tahun itu. "Apa salahnya" detik hatiku.

Sehinggalah sekarang, setelah dikurniakan tiga orang anak sikapnya tetap begitu. Cuma kekadang perubahan yang aku lihat agak ketara. Kemungkinan disebabkan bebanan kerja serta tanggungjawab di pejabat yang bertambah...ataupun mungkin soal perubahan hormon badan atau mungkin faktor usia. Hari ini genap sambutan hari lahirnya yang ke 38 tahun. Kerana itu aku perlu segera.

Aku lihat kesemua anak-anak dan isteriku telahpun sedia menunggu di dalam kereta X3 milik isteriku dengan injin yang telah siap dihidupkan. Kami bergerak menuju ke rumah kelab golf di Bukit Jalil saja kerana untuk ke Victoria Station sudah terlalu lewat. Sampai sahaja ke rumah kelab, kami terus di bawa ke meja yang telah siap ditempah. Isteriku agak terperanjat kerana di tengah meja telah terhidang kek hari lahirnya yang mujur sempat aku tempah sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah. Lilin yang terletak di atas kek dihidupkan lantas aku dan anak-anak terus menyanyikan lagu ucapan selamat hari lahir. Nampak ceria isteriku ketika itu. Lebih menceriakan isteriku bila aku dan anak-anak menghulurkan hadiah buatnya. Memang benar seperti yang selalu diucapkannya. Dia sukakan kejutan walaupun hadiah itu tidak semestinya mahal. "Buka lah" kataku. "Okay..okay..satu-satu ya". "Ma! Buka la yang Papa bagi dulu...kita punya yang last. Okay Ma!" Jerit anak-anakku.

"Ala....Barang kemas lagi, tiap-tiap tahun sama ja" keluh isteriku. Merah padam muka aku cuba menahan marah. Agaknya isteriku terperasan akan perubahan pada wajahku, cepat-cepat dia perbetulkan ayat yang dihamburkan tadi. "Pandai Papa pilih. Thank you my dear!" Memang cukup kelat untuk aku telan dan terima ucapan itu..namun aku telan jua. Makanan kegemaran aku malam itu 'stik kambing' yang kebiasaannya cukup enak dan berselera aku jamah jadi tawar. Aku cuba menenangkan diri dengan alasan untuk ke tandas sambil menyalakan sebatang rokok. Tengah aku leka menyedut asap rokok, tiba-tiba isteriku datang meminta sebatang rokok untuknya. Tanpa membantah aku menghulur kotak rokokku. "Pa, tinggal satu ja. I ambil kay!" Aku angguk saja. "Sorry la Pa. You marah ya. Sorry la! I terbawa-bawa rasa marah kat you tadi..Jom pegi sana balik. Kesian anak-anak" katanya. Aku pun mengikut setelah ditenangkan olehnya.

"Aikk! Ma! Kan dah promise nak quit smoking" jerit anak sulongku, Shahril. "Kan merokok tu merbahayakan kesihatan...lagipun ustaz pesan, merokok ni haram dalam Islam" terangnya lagi. Tersentak dengan teguran anak-anak, aku dan isteriku terus mematikan api rokok. "Papa dan Mama dalam proses berhenti la ni" jawab aku perlahan untuk mematikan persoalan seterusnya. "Kring kring...kring kring" handphone aku berbunyi. Panggilan dari adik aku. "Abang Dan! Mak pengsan, mungkin kena stroke. Tak pasti lagi. Sekarang ada dekat hospital. ICU" katanya. Aku tergamam. Lantas aku maklumkan pada isteri dan anak-anakku. Cepat-cepat kami bergerak menuju ke kereta. Di dalam kekalutan itu sempat isteriku berkata, "Pa! Kita booked hotel ya. Tidur kat rumah kampung sakit badan la. Please Pa!". Aku diam saja.

Dalam perjalanan ke rumah, aku singgah sebentar di 7-11 untuk membeli bekalan rokok aku yang dah habis. Sedang aku mengeluarkan dompet dari saku seluar aku, tiba-tiba muncul seorang wanita yang seakan-akan pernah aku lihat sebelum ini. Fikiran aku terus melayang mencari jawaban yang tak pasti. Sambil itu aku terus memerhatikan gelagatnya. "Di mana ntah" detik hatiku. Aku buntu mencari jawaban. Biarkanlah. Yang penting! Aku Mahu Pulang... Mak dan Ayahku menanti.....


bersambung...


Warkah Cinta Terbuka BuatMu


27 Safar 1430H /
@ 23 Februari 2009

Dariku:
Ibnu Hashim
Kuala Lumpur

Wahai Allah...Tuhanku,
Maafkan diriku. Banyaknya dosaku, kesilapanku padamu. Tidak terhitung jari jemari kaku, malah tidak terbilang bagai bintang beribu... Sukarnya diriku... menebus kesilapan yang lalu.

Wahai Allah...Tuhanku,
Aku datang padamu bersimpuh sujud menadah tangan mengharap belaian kasihMu, mohon lindungan sepanjang jalan. Tiada selain dariMu...
Terasa hidup ini tiada bererti. Tanpa rahmatMu, tanpa keberkatanMu... jiwaku sunyi. Tunjukki daku jalan... lurus terhampar, iman yang yakin diiringi sabar.

Wahai Allah...Tuhanku,
Janganlah Engkau pesongkan hatiku sesudah diberi petunjuk. Bantulah akan diriku supaya dapat selalu menyebut namaMu, mengingatiMu, bersyukur padaMu...Anugerahkanlah daku akan rahmatMu

Wahai Allah...Tuhanku,
Janganlah engkau mengambilkira atau hitung kesalahanku...secara aku sedar atau terlupa. Jangan dipikulkan daku bersama bebanan yang berat. Tidak terdaya dan termampu ditanggung olehku. Maafkanlah aku...ampunkanlah aku...rahmatilah daku.

Wahai Allah...Tuhanku,
Aku berlindung kepadaMu. Hilangkan keluh resah, dukacita, lemah dan malas. Lindungi daku dari bebanan hutang, sifat kedekut dan penakut. Berikanlah kebajikan padaku di dunia dan akhirat. Peliharalah daku dari azab kubur dan api neraka.

Wahai Allah...Tuhanku,
Tambahlah daku akan kurniaanMu tanpa kekurangan. Muliakan aku tanpa ada kehinaan. Lebihkan daku dari musuh yang menghantui supaya senantiasa berzikir, bersyukur terhadapMu.

Wahai Allah...Tuhanku,
Ampunkanlah segala dosa-dosaku, dosa isteri dan anak-anakku. Jadikanlah mereka penyejuk mata hatiku. Kasih dan Rahmatilah kami semoga tetap mengerjakan amal-amal soleh yang Engkau redhai. Pintaku padaMu...keselamatan agama dan kesihatan pada jasad, pertambahan ilmu dan keberkatan rezeki.

Wahai Allah...Tuhanku,
Ilhamkan aku supaya tetap bersyukur akan nikmat-nikmatMu. Ampunkanlah dosa kedua ibubapaku. Rahmatilah dan kasihkanlah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sejak kecil.

Wahai Allah...Tuhanku,
Ku hadapkan wajah di rumahMu...Baru daku sedari keagunganMu. Terimalah taubatku. Akhirkanlah umurku dengan kebaikan hingga di penghujungnya. Ampunilah diriku. Berikanlah bimbingan... kedamaian.

Yang Benar Ikhlas,

HambaMu

Tuesday, February 24, 2009

Halal Dan Haram Dalam Islam


Topik "Halal Dan Haram" dalam Islam sebenarnya sudah terlalu sinonim dengan masyarakat Islam kita hari ini. Kepentingan bagi memahami hakikat halal dan haram dalam Islam amatlah penting. Ianya bukan sekadar pemahaman dari sudut pemakanan semata-mata ataupun ibadat khusus seperti solat, puasa dan ibadah haji, malah sebenarnya ia mencakupi dari sudut kehidupan seperti pemerintahan, pentadbiran, pengurusan ekonomi, berkeluarga atau bermasyarakat. Pendek kata serba serbi terlibat. Halal dan haram dalam Islam adalah merupakan isyarat BOLEH atau TIDAK, BAIK atau BURUK sebagai panduan atau pedoman umat manusia dalam kehidupan seharian berpandukan Al-Quran dan hadith Nabi bukan terletak pada akal manusia. Proses pemahaman setiap insan mestilah berpaksi atau bersandarkan atau merujuk kepada Pencipta, iaitu Allah SWT.

Bila berbicara tentang halal dan haram, cuma ada dua perbandingan bukan tiga sebagaimana sesetengah dari kita mempraktikkan demikian dalam hidup dengan lain perkataan 'HALAM' iaitu gabungan atau campuran keduanya. Syurga dan Neraka misalnya melibatkan halal dan haram. Tiada kedudukan di antara keduanya. Untuk ke destinasi tertentu kita perlu ada panduan atau pedoman atau tanda arah untuk sampai ke sana; perlu ada tiket atau kenderaan. Begitu juga Syurga. Kita tidak bisa membuat tempahan melalui internet atau beratur di kaunter tiket melainkan kita taat akan perintah Allah disamping mengharapkan rahmatNya bersertakan amalan mulia yang kita ada.

Oleh yang demikian, penekanan mengenai nilai baik dan jahat perlu kita utamakan, kerana kedua-duanya tidak boleh bercampur sepertimana nilai positif dan negatif. Namun demikian, jika berlaku percampuran bermakna nilai negatif atau nilai jahat yang akan lebih terhasil bersesuaian dengan peribahasa Melayu yang mengatakan 'Kerana nila setitik rosak susu sebelangga'. Sebagai contoh penjualan arak di kedai 7-11. Memang terserlah percampuran barangan halal dan haram. Walaupun kita akan pastikan tiada orang Islam yang akan beli, namun penjual atau pekerjanya adalah merupakan orang Islam dan jika wanita, siap bertudung lagi.

Berbalik kepada nilai baik dan jahat, memang lumrah manusia pun, lebih senang atau mudah mengingati sesuatu perkara yang buruk dilakukan walaupun sekali berbanding dengan kebaikan yang pernah kita lakukan walaupun banyak kali. Itu yang kerap berlaku dalam masyarakat, malah antara suami isteri pun sama terutama sekali jika berlaku perbalahan.
Jika kita amati keadaan sekeliling terutamanya di rumah, nilai baik dan buruk terus menerus bercampur. Dalam masa kita mengajak isteri dan anak-anak menjalani kehidupan mengikut kaedah Islam seperti bersolat jemaah, membaca Al-Quran; dalam masa yang sama juga kita terdedah kepada nilai buruk yang ada di dalam rumah seperti rancangan hiburan melalui siaran TV.

Tanpa mengambilkira halal dan haram, kita umat Islam akan semakin lemah. Mana mungkin kekuatan akan wujud jika kita umpama buih di laut. Ramai tapi tiada kekuatan. Sebab itu kebanyakan kita sentiasa ditindas. Berlainan dengan kaum yahudi laknatullah. Memang telah tercatit keburukan atau kejahatan mereka di dalam Al-Quran. Semua orang Islam tahu. Itupun lambat untuk kita ambil pengajaran. Dalam masa yang sama kita berdemonstrasi melontarkan kemarahan pada yahudi zionis, dalam masa yang sama para pen'demontrasi' kita menyedut dan menghembuskan asap-asap rokok buatan mereka.

Halal dan haramlah ilmu yang perlu kita curahkan pada anak-anak agar mereka dapat menilai akan nilaian baik dan buruk dalam setiap tingkah atau perilaku perbuatan mereka. Cuba kita bandingkan anak-anak kita dengan anak-anak saudara seislam kita di Palestin. Kemungkinan anak mereka sedang sibuk atau giat memerangi yahudi dengan tangan-tangan kecil melontar batuan kecil untuk menghalau yahudi sedangkan anak-anak kita masih lalai menggunakan tangan-tangan mereka berlumba haram, menghantar sms bagi memilih pemenang juara bintang kecil atau mungkin asyik men'download' nada dering atau ringtone baru. Bandingkanlah.

"Hawa dan nafsu jangan diturut. Merana badan penuh sesalan. Sebelum hanyut baiklah surut. Ingat kembali ke pangkal jalan"

Wallahualam.

Thursday, February 19, 2009

Dekatkan Diri Dengan Allah SWT



Dalam kehidupan seharian sebenarnya banyak yang perlu kita perhatikan. Bukan sekadar bertumpu pada diri kita sendiri, anak isteri, keluarga terdekat atau jauh, sahabat handai dan masyarakat sahaja, malah kita telah disarankan oleh Allah SWT untuk melihat kehebatanNya melalui kejadian alam bersesuaian dengan firmanNya;

"Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu, mudah digunakan maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantau serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah dan ingatlah kepada Allah jualah tempat kamu kembali dan dibangkitkan hidup semula, maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya" surah Al-Mulk ayat 15.

Dalam keadaan yang demikian, banyak di kalangan kita yang kekadang lupa akan tanggungjawab sebagai hamba kepada PenciptaNya. Memang kita sedia maklum, 'Al insan' maksudnya selalu pelupa kita ni. Banyak perkara pelik yang selalu kita buat misalannya;
'kita masih berseronok walaupun kita tahu kita pasti akan mati' dan 'kita hairan dan menangis kenapa Allah beri kita miskin sedangkan kita tahu itu sudah pasti qada' dan qadar dari Allah'.

Mengucap kesyukuran pada Allah boleh dikatakan sudah menjadi mainan di bibir kita. Tapi kebiasaanya hanya kepada perkara yang memberi kebaikan atau kegembiraan pada kita sahaja sehinggakan ada di kalangan kita mampu menitiskan airmata mengucap kesyukuran kepada Allah jika anak diterima masuk ke 'Akademi Fantasia' ataupun 'Raja Lawak' ataupun menang anugerah dalam program hiburan. Perkara ini berlaku disebabkan kecetekan kita pada Islam itu sendiri yang bermaksud kita tidak memahami Islam secara mendalam. Di dalam keadaan sedar atau tidak, ada di kalangan kita yang telah tersasar jauh atau dengan lain makna kita buang Islam dari jiwa kita atau hilang cinta kita pada Allah dan Rasul. Maka diri akan hilang kekuatan dan mudah dipengaruhi nafsu keduniaan semata-mata @ Cinta Dunia. Sikap sebegini biasanya dibimbangi akan terus menjerumuskan diri ke arah yang lebih negatif seperti pentingkan diri sendiri, mudah putus asa dan hilang arah pedoman atau panduan.

Bila timbul sebarang masalah akan menyebabkan kita lebih banyak menuding jari atau menyalahkan orang lain. Dalam ertikata lain tiada muhasabah diri. Ulama' berpesan, "Hendaklah kita ingat salah kita pada orang lain, bukan salah orang pada kita", "Hendaklah kita ingat pemberian orang pada kita bukan hanya pemberian kita pada orang", " Hendaklah kita ingat kezaliman kita pada orang, bukan kezaliman orang pada kita". Maksudnya pandang ke atas bukan sekadar kita pandang ke bawah bersesuaian dengan firman Allah dalam surah Luqman ayat 18.
"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu kerana memandang rendah pada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri."

Sehubungan itu, amatlah penting untuk kita mendekatkan diri dengan Allah SWT dengan memahami ilmu Islam sepenuhnya. Kita hendaklah memastikan agar diri terasa dekat atau hampir dengan Pencipta, barulah doa kita akan sentiasa dimakbulkan oleh Allah walaupun doa kita tadi sekadar terlintas di hati. Jika kita memang benar-benar hampir dengan Allah SWT, cukup sekadar berbisik sewaktu berdoa. Zat Allah yang maha mendengar boleh menterjemahkan segalanya. Akhir kalam, "Jauhilah tipu daya syaitan di kalangan jin dan manusia kerana sesungguhnya tipu daya syaitan sangatlah lemah bagi orang-orang yang beriman dan bertaqwa".

Monday, February 16, 2009

Selamat Hari Lahir Untuk Isteri Dan Anak-Anakku



Selamat Hari Lahir untuk insan tersayang.....

Khas buat isteri 16 Februari 1973
"Semoga Allah senantiasa masukkan diri di dalam golongan dan naungan yang di kasihi olehNya yang penuh dengan rahmat dan keberkatan serta mendapat hidayah pertunjuk dariNya, dilanjutkan usia agar dapat beramal dengan keimanan yang semakin bertambah. Harapan sudi kiranya menerima hadiah yang tidak seberapa, walaupun kemungkinan tidak memenuhi selera..."

Buat anak-anak, Qarirah (3 Februari 1998) dan Qayyim (22 Februari 2004)
"Semoga dilindungi Allah SWT dari syaitan yang direjam...Jadilah insan yang berilmu, beriman dan anak yang soleh dan solehah..."

Salam sayang untuk semua.

Saturday, February 14, 2009

Cerpen 1: Aku Mahu Pulang



Lewat petang Jumaat yang lalu, aku lebih awal dari biasa....sambil memandu BMW 5 Series warna hitam pekat gagah menyusuri laluan Jalan Tun Razak untuk pulang ke rumah selepas kerja. Hujan lebat yang membanjiri suasana petang membantutkan perjalanan. Aku sekali sekala menghelakan nafas yang panjang. Ah! Leceh betul...nak merokok pun tak boleh! Tempias! Bentak hati kecilku.

Keadaan trafik yang sekejap bergerak dan lebih lama berhenti membuatkan aku rasa muak untuk tinggal di Kuala Lumpur. Namun ianya dah lebih dari 15 tahun aku begitu...Perlahan-lahan aku cuba menyusur ke sebelah kiri untuk elakkan terus terperangkap dalam kesesakan lebih-lebih lagi dalam terowong. Teruk juga dengusku. Terpandang aku pada lampu minyak yang kekadang menyala. Sempat lagi rasanya.

Suasana luaran masih sama. Langsung tiada pergerakan. Lampu isyarat dah berkali-kali bertukar hijau, namun aku masih juga dipersimpangan. Bunyi hon yang memekik dari tadi tidak ku hiraukan. Dalam keadaan begini mana bisa bergerak, semua pergerakkan tersangkut malah ada yang tersadai di tengah jalan. Siaran radio yang terpasang sekurang-kurangnya meredakan keadaan, walaupun lagu yang diputarkan bersesuaian sungguh dengan zaman mak ayah aku dulu..'Taqwa dan Iman' dendangan Ahmad Jais.

Dalam keadaan aku cuba menghayati bait-bait lagu tersebut, bunyi hon terus menerus memekik. Laungan azan maghrib membuatkan aku cepat-cepat melihat jam di tangan walaupun sebelum ini aku sudah lama tak berkesempatan mendengarnya. Terpandang aku pada bangunan yang sudah lama tidak aku singgahi...Tabung Haji. Rasanya dah hampir 20 tahun aku tak jejak. Seingat aku, paling akhir aku ke situ pun masa aku masih lagi menuntut di sebuah IPTA, buka akaun untuk mak ayah aku. Itu niat aku jika terpilih belajar di mana-mana institusi pengajian tinggi waktu itu.

Sedang aku digamit memori, tiba-tiba handphone aku berbunyi...alamak! orang rumah call. "Iya sayang" kataku. "Abang kat mana ni? Kenapa lambat ni. Kan dah janji...Xyzbla blabtjdh#%&ndkngL#$zccca" itu saja yang dapat aku dengar ucapan merangkap leteran dari isteriku...walaupun tak sampai 5 minit rasanya semakin nipis gegendang telinga aku dibuatnya. Mungkin beginilah perasaan staf dekat tempat kerja aku setiap kali jika aku memaki hamun mereka. Orang korporat macam aku ni kekadang terpaksa melupakan batas sebagai manusia yang memahami. Keadaan status memaksa.

Ada ruang aku terus memecut. Nasib aku baik terlepas dari kesesakan. Kebetulan lebuhraya baru yang menghubungkan KL-Putrajaya baru dibuka. Lega rasanya. Tidak ramai pengguna trafik, mungkin disebabkan ada bayaran tol. Sedang aku leka memandu, lampu petanda minyak menunjukkan isyarat yang bertambah jelas. Jarak ke persimpangan rumah aku yang terletak di persekitaran Kelab Golf di Bukit Jalil lebih kurang lagi 150 meter. Aku tiada pilihan. Kena cari stesyen minyak dulu gayanya. Desak hatiku.

Tiba di stesyen minyak tanpa berlengah aku terus keluarkan kad kredit 'platinum' untuk dilorekkan pada mesin pam. Rosak pulak. Mesin ATM dalam kedai pun 'out of service'. Aduh! aku merungut. Duit tunai dalam wallet tadi aku dah gunakan beri sumbangan kepada staf yang baru hendak melangsungkan perkahwinan hujung minggu ni. Tengah aku menggarukan kepala yang tidak berapa gatal ni, aku telah dicuit dari belakang oleh seseorang. Terdiam aku seketika. Pertama kali bila aku lihat...aku ingatkan orang dakwah ataupun ustaz mana pulak yang nak minta derma bina masjid. Tapi bila aku amati...dia menguntumkan senyuman pada aku. Dah pasti dia kenal aku. Cuma aku saja yang selalu lupa orang. "Aniq" katanya. " Takkan dah lupa, kawan lama". Dengan muka hairan aku bertanya.."Aniq? Biar betul..."

"Ya!! Awat hang tak percaya kat aku ka Danny?" Danny...itu nama glamor masa aku belajar dulu. "Awat hang nampak lain sangat Niq?" sergah aku. Aku nampak dia tersenggih ja. "Umuq dah meningkat ni kena berubah la...mana boleh macam dulu lagi" katanya. "Dari mana?" kataku. "Baru balik masjid..solat Isyak. Nak balik rumah la ni. Saja singgah isi minyak jap. Esok nak balik kampung...jumpa orang tua. Lepaih balik haji baru ni belum sempat balik jumpa saudara yang lain lagi. Err...Hang macamana?" katanya. Tak berjawab sekejap aku. Manakan tidak, orang dah balik solat Isyak. Aku maghrib ke mana..isyak pun selalunya khuyub.

Tak sangka aku dah pergi haji rupanya kawan aku ni. Patutlah nampak lain sangat ketrampilannya. Lepas aku pinjam duit dari dia untuk isi minyak, sempat aku tanya dia tinggal di mana. Rupanya dalam kawasan yang sama dengan rumah aku. Nampak sangat aku tak berjiran dengan orang. Dia jemput aku sekeluarga ke rumah lepas dia balik dari kampung minggu depan. Aku pun setuju. Lagipun memang aku kena jelaskan hutang aku padanya. Selepas bertukar-tukar nombor telefon dengan kawan aku...handphone aku berdering lagi. Siapa lagi kalau bukan orang rumah aku! Aku mahu pulang...isteri dan anak menanti.

bersambung.....

Azam Mendidik Anak Yang Soleh


Kita sering mendengar azam atau resolusi setiap orang dari kita bila setiap tahun menyambut tahun baru. Kebanyakan dari kita biasanya memasang niat hendak berhenti merokok, hendak kuruskan perut yang semakin tersasar, lebihkan senaman dan tukar tabiat pemakanan atau mungkin tukar kerja... Tapi apa kata tahun ini kita ubah dengan mencari azam baru atau resolusi baru untuk menjadi ibubapa yang lebih efektif dalam erti kata lain...mendidik diri dan anak-anak menjadi yang lebih soleh atau solehah...Apa mungkin terdapat teknik mendidik anak yang perlu kita ubah ataupun terdapat tabiat anak-anak kita yang perlu ditukar....

Ada pendapat pakar motivasi yang mengatakan .... "Belajarlah memahami setiap tindakan anak kerana dengan cara inilah kita berkomunikasi dengan lebih baik".

Kebanyakan dari kita sering terlupa dan tidak sedar akan pengaruh kita terhadap anak-anak yang kebiasaannya lebih cenderung mengambil sikap negatif yang ada pada kita selaku ibubapa sebagai contohnya perlakuan merokok, malas solat. Selaku ibubapa, kita sebenarnya merupakan 'model' dalam membentangkan tingkah laku yang baik terutama sekali kaedah pengurusan emosi...

Mendisplinkan diri sendiri adalah perkara yang mustahak dan paling efektif. Kaedah ini dapat membantu kita mendisplinkan diri anak-anak. Cuma displin dan hukuman bukanlah perkara yang sama. Didikan adalah sebahagian daripada displin. Jika kita menghukum anak dengan mengenakan tindakan atau mengurangkan pelbagai keistimewaan, ia mungkin tindakan yang wajar. Akan tetapi, anak kita tidak mungkin faham atau belajar atau tahu apa yang betul sehingga kita perjelaskan kepada mereka. Kaedah didikan untuk semua anak-anak berkemungkinan tidak sama kerana teknik didikan setiap anak yang hendak diadaptasikan bergantung pada individu itu sendiri. Dalam erti kata lain perlu luangkan masa untuk memahami perilaku setiap dari anak-anak kita.

Belajar berkomunikasi dengan anak adalah merupakan kemahiran penting yang perlu ada pada kita selaku ibubapa. Kita perlu bijak mencari topik yang bersesuaian untuk dibincangkan bersama. Dalam Islam, manjakan mereka dan berkawan dengan mereka apabila umur anak-anak meningkat akil baligh. Ajar anak solat bila mereka berumur 7 tahun dan rotan mereka jika mereka lalai atau tinggal solat bila umur mereka mencecah 10 tahun. Mengajak anak dan isteri solat berjemaah, memberi tazkirah pada anak-anak, membaca Al-Quran, beriadah serta menikmati makanan bersama merupakan langkah awal menangani permasalahan sosial.

Sambil itu kita perlu bersiap sedia berhadapan dengan pelbagai permasalahan yang bakal mendatang dengan kita menerapkan soal dosa dan pahala, halal dan haram, baik dan buruk dalam perbualan antara kita dengan anak-anak sebagai contoh bahayanya merokok, penyalahgunaan dadah, akibat tinggalkan aqidah Islam dan lain-lain. Nadanya perlulah dalam 'tonnasi' yang lunak didengar. Bukan dalam nada jeritan atau leteran yang boleh menipiskan gegendang telinga...

"Wahai Tuhan kami! Berilah kami beroleh dari isteri dan anak-anak kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami ketua ikutan bagi orang-orang yang mahu bertaqwa" Surah Al-Furqan, ayat 74

"Wahai Tuhan kami! Jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat kami. Wahai Allah! Perkenanlah doa permohonan kami" Surah Ibrahim, ayat 40.

Wallahualam.


Mengekalkan Amalan Baik Sebelum dan Selepas Ibadah Haji...Suatu Cabaran



Sekadar nak berkongsi pengalaman Bang Aji ngan semua...
Almaklum, masa nak menunaikan ibadat haji memang perasaan bercampur baur...timbul rasa 'excited' malah takut pun ada... banyak dosa kita ni... tambahan bila ustaz yang memberi ceramah waktu kursus haji kerap mengingatkan tentang kesilapan lampau yang perlu kita langsaikan hutang kita dengan Allah SWT maupun manusia. Perbanyakkan bertaubat dan memohon keampunan dari Allah SWT dengan mengerjakan solat sunat taubat, solat hajat serta solat-solat sunat yang lain. Biasakan katanya.

Terngiang-ngiang lagi ungkapan Haji Bakhil dalam filem Labu Labi..."Kapal haji lagi dua bulan baru nak bertolak...Engkau dah jadik haji...Labu". Itulah kerisauan yang acap kali bermain difikiran. Alhamdulillah....semua perlaksanaan rukun dan wajib haji telah dapat dijalankan dengan sempurna. Selesai saja kerja haji terbit perasaan tidak sabar untuk pulang ke pangkuan keluarga yang ditinggalkan. Timbul di fikiran pada ketika itu, penghormatan gelaran haji pada hadapan nama sebenarnya menambahkan tanggungjawab yang perlu ditanggung terutamanya bila berhadapan dengan masyarakat setempat. Setidak-tidaknya kita telah dianggap sebagai 'orang rujukan' atau 'role model' atau silap haribulan jemaah tolak ke hadapan untuk jadi imam solat...
Sikap dan perilaku kita mestilah baik, berkata-kata dengan perkataan yang molek tanpa menggunakan kata-kata kesat atau melampaui batasan yang boleh menyinggung perasaan saudara seagama, berinteraksi dengan masyarakat setempat atau rakan taulan tanpa ada 'protokol' serta berbudi bahasa sebagaimana yang kita lakukan sewaktu berihram....seragam ...tanpa ada perbezaan pangkat kedudukan.

Memang wajar pun, seseorang yang bergelar haji atau hajjah senantiasa perlu melakukan sesuatu yang baik...malah lebih baik daripada sebelum kita pergi mengerjakan ibadah haji di Mekah. Kekadang bergantung pada keadaan...sejauh mana pengajaran atau pelajaran yang kita perolehi dalam setiap ibadah haji yang kita kerjakan sepanjang di tanah suci. Semua amalan dalam rukun dan wajib haji ada hubungkaitnya dengan persoalan akhirat dan mengingatkan kita tentang ketaqwaan pada Allah SWT selaku pemilik alam dan hari akhirat.
Sebenarnya kita tidak boleh lari dari melakukan kesilapan dan dosa terutamanya kepada Allah dan Rasul, kedua ibubapa, jiran tetangga, sahabat atau kenalan, namun kita bagaikan dilahirkan semula iaitu tidak berdosa setelah berpeluang menebus kesalahan dengan ibadah tawaf khususnya. Sehubungan itu, perlulah kita menambah koleksi pahala bukannya menambah koleksi dosa...

Justeru itu, dalam mempertingkatkan amalan dalam mendekatkan diri pada Allah SWT dan mengekalkan kelansungan pahala haji atau haji yang mabrur, para haji dan hajjah perlulah pelihara dan istiqamah dalam setiap amalan. Ini tidak...kekadang dikalangan kita masih kekal merokok, berborak di kedai kopi...para hajjah pula masih minat men'sms' calon pilihan akademi fantasia ataupun raja lawak...Ringtone bagi handphone masih kedengaran lagu-lagu nyanyian artis tanahair atau barat...

Oleh yang demikian, kaedah terbaik ialah kita perlu mengekalkan solat berjemaah setiap waktu di masjid/surau, perbanyakkan amalan solat-solat sunat dan membaca Al-Quran dan memahaminya, menjaga ketrampilan diri, isteri dan anak-anak terutama sekali penutupan aurat dan pakaian yang bersesuaian sebagai haji/hajjah, senantiasa muhasabah diri, menjaga bahasa pertuturan, berhubung rapat dengan teman yang baik seperti yang ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah Al-Kahfi ayat 28..."Dan jadikan dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang mengajakmu mengingati Allah di waktu pagi dan petang dengan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandangan wajahmu dari mereka hanya kerana mahukan kesenangan dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai dari mengingati dan mematuhi ajaran Kami di dalam Al-Quran serta ia menurut hawa nafsunya dan tingkah lakunya pula melampaui batas".

Para haji dan hajjah adalah disarankan untuk berdoa bersama ketika mula sampai ke pintu rumah sebelum menemui para ahli keluarga bagi menambahkan keberkatan dan kerinduan pada Baitullah;
"Ya Allah! Kami bersyukur padaMu kerana telah selamat sampai setelah mengerjakan ibadah haji dan umrah, namun begitu Ya Allah! jangan jadikan kunjungan ini sebagai yang terakhir.
Ya Allah! Berikanlah kami sekeluarga, kedua ibubapa kami, ahli keluarga kami peluang lagi agar kami dapat bersama-sama mengerjakan haji dan umrah pada masa akan datang.
Ya Allah! ya Tuhan kami, perkenanlah permohonan kami ini, mustajablah doa kami ini dengan berkat Nabi Muhammad SAW dan amalan kami yang ikhlas".

Wallahualam.

Sunday, February 8, 2009

Salam Perkenalan Dariku...Ibnu Hashim




Assalamualaikum wbkt...

Salam perkenalan dariku..Ibnu Hashim. Atau panggilan yang mudah dan ringkas... panggil saja ana 'Bang Aji'. Itu panggilan yang rasanya bersesuaian dan tepat bagi peringkat umur ana ketika ini...Telah meniti pelbagai zaman... muda remaja, jatuh bangun, tersungkur lalu rebah, terang lalu malap lagi gelap... dan kini bangkit...mencari sinar.

Bersyukur kepada Allah SWT kerana masih mengurniakan rezeki serta nikmat kesihatan dan nyawa untuk hidup serta menyediakan udara untuk dihirup...

Dilahirkan tepat jam 12.50pm hari Jumaat 12 September 1969 bersamaan 29 Jamadil Akhir 1389. Anak serta cucu kelima generasi keluarga Tok Mat Arab...panggilan sinonim bagi orang-orang kampung Bang Aji, "Kampung Padang" yang terletak nun...di Sungai Petani, Kedah.

Atas dorongan isteri dan anak-anak... Dari sentuhan "Bukan Kerna Nama" itu target asal Bang Aji untuk menulis.... Sekadar perkongsian ilmu bersama mereka yang tercinta Ija (Kak Aji), Qayyum, Qarirah, Qawiem, Qarihah, Qayyim, Qawy dan Qinawy serta keluarga dan mungkin sahabat taulan yang turut sama mencari....dalam mematangkan fikiran dan kehidupan agar senantiasa diredhai oleh Illahi.

Akhir kalam..."Perbaikilah kapal kerana laut sangat dalam"...."Sediakanlah bekalan kerana perjalanan kita masih jauh"

Wallahualam.