Tuesday, November 9, 2010

Haji: Bayangan Perjalanan Menuju Kematian

Setiap di dunia mempunyai regunya masing-masing. Hitam regunya putih, lelaki regunya perempuan, pagi regunya petang dan siang regunya malam. Inilah hakikat yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud: Maha Suci Tuhan yang Telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka maupun dari apa yang tidak mereka ketahui. (Surah Yaasin, ayat 36).

Demikian juga firman Allah SWT yang bermaksud: Dan segala sesuatu kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran Allah. (Surah al-Zariyat, ayat 49)

Kebenaran ayat ini disahkan bukan sahaja oleh Allah SWT bahkan oleh penemuan ahli sains yang antara lain menemui proton yang berpasangan dengan elektron di dalam atom. Demikian juga dengan caj positif dan negatif di dalam arus eletrik. Semuanya membuktikan bahawa setiap apa yang ada di dunia ini ada pasangan atau regunya masing. Apa yang tidak mempunyai regu hanyalah zat Allah SWT.

Sesuai dengan kesucian zat Allah SWT sebagai Tuhan Yang Maha Esa dan tidak ada sebarang sekutu bagiNya. Justeru, sangatlah besar dosa orang-orang yang meletakkan regu kepada Allah SWT di dalam apa jua bentuk pengabdian. Inilah yang dinamakan syirik yang tidak maaf bagimu di akhirat kelak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. barangsiapa yang mempersekutukan Allah, Maka sungguh ia Telah berbuat dosa yang besar. (An-Nisa’, ayat 48)

Jika setiap perkara mempunyai regu, maka hidup manusia juga mempunyai regu. Regunya ialah kematian. Begitu juga dunia, regunya ialah akhirat. Oleh kerana perjalanan hidup manusia ini tidak hanya terhenti di persinggahan dunia ini semata-mata tetapi akan bersambung sehingga ke akhirat, maka menjadi kewajipan bagi manusia mempersiapkan dirinya untuk menempuhi kehidupan di akhirat.

Kita bahkan seringkali melihat bagaimana jemaah-jemaah haji mengikuti kursus-kursus yang diadakan sebagai persiapan untuk menempuhi suasana haji yang sebenar, begitu juga dengan pelajar-pelajar yang akan menempuhi peperiksaan, dilatih dengan pelbagai tuisyen dan kelas tambahan untuk menempuhi peperiksaan, maka kehidupan akhirat dan peperiksaan di padang mahsyar lebih patut lagi diadakan kursus persediaan dan kelas tuisyennya yang tersendiri.

Untuk tujuan persediaan dan penyesuaian hidup di dunia dengan apa yang akan dtempuhi oleh manusia kelak di akhirat hanya diajar oleh Islam. Semua ideologi yang lain samada di atas nama sekular, nasionalis, sosialis, komunis dan sebagainya tidak pernah mengajar manusia bagaimana untuk hidup sejahtera di akhirat. Beleklah kitab-kitab rujukan ideologi ciptaan manusia ini, pastinya tidak ditemui sepatah kalimahpun berkenaan hidup selepas mati kelak. Tidak ditemui peringatan tentang syurga atau neraka serta dosa atau pahala.

Justeru, Islam melatih penganut-penganutnya tanpa mengira bangsa apa sekalipun untuk tunduk patuh kepada Allah SWT sebagai latihan untuk menempuhi kehidupan akhirat khususnya melalui ibadah seperti solat dan haji. Ibadah solat misalnya, diperintahkan untuk terus dilaksanakan apabila kedengaran panggilan azan. Segala kerja yang sedang dilakukan perlu ditinggalkan segera untuk kesemuanya bergerak serenatak ke masjid. Ini betul-betul menepati bayangan akhirat yang diceritakan oleh Allah SWT yang bermaksud: Dan ditiuplah sangkalala, maka tiba-tiba mereka keluar dengan segera dari kuburnya (menuju) kepada Tuhan mereka.(Surah Yasin, ayat 51)

Maha Suci Allah SWT yang telah merakamkan bayangan ini di dalam al-Quran lalu diterjemahkan di dalam ibadat solat. Ia merupakan latihan kepada semua penganut Islam untuk berdepan dengan saat yang namanya ialah akhirat. Diperintahkan bersegera untuk bersolat di masjid sekalipun berdepan dengan kesibukan kerja dan urusan yang penting, sungguh menyamai saat manusia berduyun-duyun ke padang mahsyar menyerahkan diri di hadapan Allah SWT untuk dihisab segala amalan.

Demikian juga dengan ibadah haji, manusia diminta tinggalkan segala apa yang dimiliki bermula dari keluarga, tanah air, harta benda, saudara mara dan sebagainya hanya semata-mata untuk menyahut panggilan Allah SWT di Tanah Haram. Ini ditambah pula dengan perintah supaya memakai pakaian yang berwarna putih benar-benar menepati saat hari kematian iaitu pada saat manusia meninggalkan dunia untuk bertemu Allah SWT. Manusia perlu patuh, dan tidak ada pilihan lain kecuai terus patuh. Di dalam ibadah haji misalnya, tidak boleh dipersoalkan kewajaran ibadah seperti tawaf, sa’ie, wukuf, melontar di jamrah dan sebagainya. Tidak ada penjelasan dan rasional untuk difikirkan oleh manusia kecuali hanyalah semata-mata ia merupakan perintah Allah SWT.

Di dalam ibadah solat, manusia diminta untuk menyucikan diri terlebih dahulu untuk bertemu dengan Allah SWT. Zahir perlu disucikan daripada najis, manakala batin pula disucikan daripada hadas samada besar atau kecil serta syirik dan juga penyakit hati yang lain. Suci ini tidak disyaratkan di dalam ibadah yang lain seperti zakat dan puasa. Manakala di dalam ibadah haji, disyaratkan agar jemaah berangkat dengan harta yang bersih dan hati yang bersih. Diperintahkan bertaubat kepada Allah SWT dan bermaaf-maafan dengan semua pihak agar hati yang pergi mengadap Allah SWT ialah hati yang bersih daripada perasaan yang tidak baik terhadap pihak yang lain. Diperintahkan untuk menziarahi saudara mara sebelum bertolak ke Tanah Haram agar tali persaudaraan tidak putus dan segar dengan doa yang mengiringi pemergian.

Demikianlah perjalanan menuju kematian, jika solat dan haji disyaratkan agar suci terlebih dahulu, maka kematian dan perjalanan ke akhirat lebih-lebih lagi diperintahkan agar bersuci terlebih dahulu. Alangkah mulianya sebuah kematian jika si mati bersih dari dosa dengan Allah SWT serta dosa dengan manusia. Sungguh bertuah si mati jika yang mengiringi dirinya ke tepat persemadian sementara menunggu untuk dibangkitkan kelak di akhirat ialah doa daripada anak-anak yang soleh dan saudara-mara jauh dan dekat. Justeru, solat dan haji ialah latihan untuk menempuhi kematian.

Kerana itulah, di dalam solat dan haji, kita diajar untuk sentiasa bertasbih, bertahmid dan bertakbir memuji Allah SWT. Kesemua bacaan yang diperintahkan ini ialah satu suntikan antibiotik terhadap jiwa kita bagi menangkis gangguan virus yang bernama syaitan.

Mengingati Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad alaihimassalam di dalam solat dan haji

Dari sisi yang lain, solat dan haji ialah dua ibadat yang diperintahkan untuk kita mengingati dua nabi yang ulung iaitu Nabi Allah Ibrahim alaihissalam dan Nabi Muhammad SAW. Di dalam duduk tahiyyat ketika solat, kita menyebut nama kedua-dua nabi ini manakala di dalam ibadah haji, kita menjadikan amalan yang dimulakan oleh Nabi Ibrahim dan disahkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai amalan haji atau manasik.

Kenapa kedua-dua nabi ini begitu dominan dalam ibadat solat dan haji? Antaranya ialah kerana sejarah kedua-duanya yang begitu unggul dengan pengorbanan di dalam melaksanakan perintah Allah SWT. Nabi Ibrahim AS pernah dihalau oleh bapanya dari rumah, dibakar hidup-hidup, diusir keluar dari tanah airnya, berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat untuk menyelamatkan imannya dan pelbagai lagi ujian yang menimpa, kesemuanya dilalui dengan penuh keimanan menjadikan diri baginda layak untuk menjadi ikutan oleh seluruh umat Islam.

Demikian juga Nabi Muhammad SAW yang dipulau oleh kaum Quraisy selama tiga tahun di Syi’ib Ali, tidak dibenarkan masuk ke tanah air tumpah darahnya sendiri sekembalinya dari Thaif sehingga terpaksa meminta pertolongan dari seorang musyrik bernama Mut’am bin Adi dan terpaksa keluar dari Mekah menuju ke Madinah dengan memohon pertolongan dengan Abdullah bin Uraiqit yang merupakan seorang musyrik pada masa itu. Kesemuanya merupakan sekelumit daripada episod hidup yang dilalui oleh baginda Rasulullah SAW.

Jelas sekali, kedua-duanya merupakan contoh yang sangat baik dan praktikal untuk dijadikan ikutan di dalam hidup sebagai seorang mukmin. Alangkah lebih jauh lagi tapak-tapak kaki kita dengan jejak-jejak yang telah ditinggalkan oleh kedua-duanya!

Sekular tidak melatih untuk akhirat

Latihan untuk akhirat ini tidak wujud di dalam mana-mana ideologi sekular. Sekular hanya mengajar penganutnya untuk menjadi kaya, hebat dan berjaya di dunia sahaja tanpa mempedulikan implikasi di akhirat. Seorang penganut sekular jarang sekali terpancul keluar dari kedua-dua belah bibirnya peringatan tentang syurga, neraka, dosa dan pahala. Sekular menjadikan manusia merasakan dirinya sebagai tuhan, penguasa mutlak terhadap semua perkara yang dimiliki olehnya.Sedangkan Islam memandang manusia hanyalah penumpang di bumi Allah SWT. Apa yang dimiliki oleh manusia sebenarnya tidak dimiliki olehnya secara mutlak, ia merupakan milik Allah SWT.

Sebagaimana seorang penumpang bas atau kapal terbang, tidak akan disebut sebagai pemilik bas atau kapal terbang kerana dia akan turun di stesen yang telah ditetapkan. Selepas meninggalkan stesen, ia tidak disebut-sebut lagi sementara bas dan kapal terbang tadi akan menerima penumpang yang lain. Demikianlah di dunia, selepas kematian, segala apa yang kononnya dimiliki akan berpindah ke tangan orang lain. Bukan setakat harta, bahkan oksigen, penglihatan, pendengaran dan kesemuanya milik Allah SWT. Inilah ajaran Islam.

Sekular tidak pernah mengingatkan manusia tentang akhirat. Tidak seperti Islam yang mengajar penganutnya menyebut berulang-ulang peringatan tentang hari kiamat di dalam solat melalui bacaan surah al-fatihah. Keperluan terhadap kiamat ini merupakan keperluan asasi manusia untuk dibalas segala perbuatan orang-orang yang zalim di dunia serta diganjari kebaikan orang-orang yang melakukan kebaikan. Bolehkah sekular tanpa kepercayaan terhadap hari kiamat memberikan kepuasan kepada manusia? Jawabnya tidak.

Betapa ramai orang-orang yang kaya yang bakhil dan penguasa yang zalim mati dengan kekayaan dan kezalimannya tanpa dibalas terhadap perbuatannya? Begitu juga orang-orang yang melakukan kebaikan dan tidak pernah mendapat penghargaan terhadap kebaikannya sepanjang hidup, bilakah masanya dia akan mendapat ganjaran terhadap kebaikannya jika tidak di akhirat? Maka secara semulajadi, manusia inginkan akhirat agar di sana dapat dilunaskan segala kezaliman dan diganjari segala kebaikan. Inilah yang diajar oleh Islam melalui firman Allah SWT yang bermaksud: Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. (Surah Ali Imran, ayat 185)

Alangkah bertuahnya dunia apabila kepercayan terhadap akhirat menjadi akidah dalam diri manusia. Tanpa polis dan undang-undang sekalipun, tidak akan berlaku jenayah kerana manusia yakin perbuatannya akan dinilai oleh Allah SWT. Tetapi tanpa kepercayaan terhadap hari kiamat, beratus ribu polis ditambah dengan hukuman yang berat sekalipun, manusia akan mencari helah dan jalan untuk melakukan jenayah. Dengan kepercayaan terhadap hari akhirat, manusia bukan sahaja gerun untuk mencerobohi harta orang lain, bahkan untuk menguruskan hartanya sendiri pun tidak boleh menurut selera nafsunya semata-mata. Ia perlu berpandu kepada Allah SWT.

Sayangnya, mesej yang sebegini penting jarang sekali kedengaran melalui lidah pemimpin-pemimpin negara. Mesej yang membawa pengertian akidah sebegini kebiasaannya hanya diperdengarkan di masjid-masjid melalui ustaz-ustaz atau tok-tok lebai semata-mata. Alangkah baiknya jika setiap pimpinan negara samada bergelar Presiden, Perdana Menteri atau apa jua gelaran sekalipun mengambil langkah sentiasa mengingatkan rakyat terhadap kehidupan di akhirat. Tentu sekali peringatan sebegini akan diulang-ulang pula oleh pimpinan seterusnya samada menteri, pegawai tinggi kerajaan hinggalah ke peringkat bawah dan berakar umbi di dalam masyarakat. Tidakkah Rasulullah SAW selaku ”PM” di Madinah seringkali menyebut peringatan-peringatan seperti ini?

Jelas sekali bahawa sekular yang dibangga-banggakan ini tidak akan membawa kesejahteraan kepada hidup manusia samada di dunia apatah lagi di akhirat. Inilah matlamat perjuangan gerakan Islam khususnya di Malaysia. Perjuangan gerakan Islam bukanlah hanya untuk memenangi satu dua pilihanraya semata-mata, tetapi lebih jauh dari itu ialah untuk meruntuhkan tembok sekular dan digantikan dengan Islam.

Penutup

Akhir kata, harapan saya agar ibadah haji yang dilaksanakan oleh jemaah-jemaah haji pada tahun berjaya meningkatkan keyakinan kita terhadap hari akhirat seterusnya menjadikan kita lebih bersedia untuk menghadapi saat tersebut. Kepada mereka yang tidak mengerjakan ibadah haji, hayatilah ibadah korban yang dilakukan di tanah air dengan mengambil semangat Nabi Ibrahim AS untuk menjadi teras panduan di dalam hidup kita.

Insya-allah pada tahun ini saya akan bersama-sama rombongan KDYMM Sultan Muhammad ke-V untuk mengerjakan haji di Tanah Suci. Doakanlah agar pemergian kami mengerjakan haji pada tahun ini diberkati oleh Allah SWT dengan pemergian dan kepulangan yang aman sejahtera, Insya-Allah. Hajjun Mabrur wa Sa’yun masykur. Sekian.

YAB TUAN GURU DATUK HAJI NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh: 1 Zulhijjah 1431H/8 November 2010

Monday, September 6, 2010

Selamat Hari Lahir....



Selamat Hari Lahir Buat Anak-anakku...

Al Hafiz Muhammad Aniq Qayyum yang ke 14 tahun (6 September) ...
dan Muhammad Anaqi Qawy yang ke 4 tahun (13 September).... Ayahanda doakan semoga bertambah keimanan dan menjadi insan yang dirahmati serta diredhai oleh Allah SWT.

Sunday, September 5, 2010

Beramal Perlulah Ada Ilmu...

Nukilan : bang aji

Dah 26 Ramadhan rupanya hari ni... Dah masuk ke penghujung bulan puasa... Malam ke 27. Nak kejar Lailatul Qadar, kenalah banyak beramal bukan banyaknya bershopping. 'Jualan Murah' bang aji oii!!...kata kak aji.

Amboi! bab-bab tu memang masyarakat sekarang nih bermazhab pun... Lagi nak sampai ke penghujung Ramadhan, lagi kurang masyarakat Islam menambah amal ibadah. Tidak lagi bersolat malam.... bertadarus Al-Quran melainkan sibuk membuat kuih, menonton TV atau yang lebih canggih lagi bertadarus dengan IT.... Facebook!! Itulah ikhtibar bagi kita bilamana kita beramal atas dasar semangat semata-mata... bukan atas dasar ilmu.

Teringat ungkapan seorang Ustaz dalam tazkirahnya tempohari, sewaktu beliau dalam perjalanan dari Penang ke KL sambil mendengar radio. Kebetulan ada program agama dan ada pemanggil yang hendak bertanyakan kemusykilan tentang persoalan solat sunat tarawih...begini bunyinya....

"Ustaz, semalam sewaktu saya selesai solat sunat tarawih baru saya terperasan yang kain yang saya pakai terbalik...yang luar ke dalam dan yang dalam di luar... Soalan saya... sah tak solat saya tadi?"

Ustaz yang jadi ahli panel tu pun ambil masa yang agak lama untuk menjawab. Sambil tergagap ustaz pun bertanya kepada pemanggil tadi. "Kain encik tercarik atau terkoyak?" "Tak!" Ringkas jawabnya. Ustaz bertanya lagi. "Apa masalah yang tuan hadapi sebenarnya...Cuba terangkan dengan jelas untuk dijawab". Beliau mengulang lagi perkara yang sama... "Sampai aje kat rumah saya perasan kain yang saya gunapakai... terbalik! Jenama Gajah Duduk kain tu ada di dalam. Tidak berada diluar seperti yang sepatutnya... Soalan saya... Sah tak solat saya semuanya?"

Barulah ustaz tadi faham. "Oooo... faham saya. Kalau begitu solat tuan sah. Letaklah jenama apa sekali pun kat atas atau kat bawah... janji tidak terkoyak atau menampakkan aurat tuan sudah" sambil gelihati ustaz tu jawab. Begitulah kisahnya... JAHILnya kita.

Ini jelas menunjukkan yang pemahaman sesetengah kita tentang Islam...hukum hakam memang hancus!!! Banyak yang tidak berilmu. OK sikit sebab nak beramal jer... Kan lebih aula @ diterima ALLAH SWT akan amalan kita sekiranya kita berilmu.... Perlukan perubahan... sebab kalau kita tidak bercita-cita untuk berubah maka lebih hebat akan orang kurang siuman berbanding kita....Sebab ada cerita di sebuah hospital sakit jiwa begini...

Seorang lelaki kurang siuman ni memang minat menyanyi...especially lagu-lagu Jamal Abdillah. Secara baring menelentang dia mulakan dari lagu pertama hingga lagu ke 5. Habis jer lagu ke 5, dia baring secara meniarap dan teruskan dengan lagu ke 6 hingga lagu ke 10. Selepas itu, dia mulakan baring menelentang kembali dengan mula lagu yang lain pula. Bila ditanya padanya apa sebab dilakukan begitu. Jawabnya mudah. Sebagaimana pemain kaset, sudah tentu ada side A & side B. Begitulah dia.

Selang beberapa bulan... Lelaki kurang siuman ni tidak lagi menyanyi sambil baring samada menelentang atau meniarap... Kali ini beliau berdiri sambil berjalan mengelilingi bilik beliau dan terus menyanyi lagu Jamal Abdillah dari satu lagu ke satu lagu.... Bila di tanya apa sebabnya... Jawabnya tetap selamba... Dulu pemain kaset... Sekarang dah tukar ke pemacu CD....
Kelakarkan!!!

Amacam kita??

Thursday, August 26, 2010

Kasihnya ALLAH SWT Pada HambaNya......

Nukilan Oleh: bang aji

Sedar tak sedar dah masuk ke penghujung bulan Ramadhan 1431H..... Rasa baru sesangat mula puasa. Maklum ajer lah... sekali setahun @ sebulan dalam masa 12 bulan.

Harapan agar kiranya setiap amalan yang selama ini kita kerjakan dapat diterima oleh ALLAH SWT yang maha pengasih lagi maha penyayang.... Bila kita fikir sejenak, kasihnya ALLAH SWT pada kita memang tak terhitung... SUBHANALLAH...

Manakan tidak! Selama ini kelalaian kita jarang sekali ALLAH SWT bagi hukuman dalam bentuk cash. Bagi ruang, bagi peluang dan kelapangan lagi... Nak tengok kita kembali kepada fitrah manusia yang memerlukan bantuan dan pertolongan dari ALLAH SWT...

Walhal, ALLAH SWT tidak akan sesekali terjejas kedudukan dan kehebatanNya malah terkesan sekelumit pun tidak seandainya kita selaku hambaNya meninggalkan setiap suruhanNya malah menjalankan setiap laranganNya.... ALLAH SWT pun tidak pernah bergantung harap pada pujian yang kita hamburkan... Tidak macam kita yang sentiasa mengharapkan pujian sesama manusia....

Kerana itu bila ALLAH SWT menganugerahkan bulan Ramadhan Al Mubarak kepada umat Nabi Muhammad SAW... beri arahan untuk berpuasa sepatutnya kita bersyukur sebagai tanda kasih dan sayangnya ALLAH SWT kepada kita.... Bulan yang diberikan bonus pahala yang berlipat ganda untuk direbut.... Siap dengan Lailatul Qadar yang dijanjikan malam seribu bulan...

Sebabnya.... Jika dibandingkan kita dengan umat Nabi dan Rasul terdahulu, umur tidak sepanjang mereka. Paling lama pun kita berkemungkinan ada yang mencecah 100 tahun saja. Sedangkan umat Nabi terdahulu umurnya ada yang menjangkau 1000 tahun.... Bayangkanlah amalan orang-orang beriman pada ketika itu berbanding kita yang berumur singkat... Bayangkanlah!!!

Jadi... Apa tunggu lagi!

Dah nak masuk 10 malam terakhir Ramadhan... Moh! Sama-sama kejar... Laitul Qadar... Semoga kita termasuk di dalam golongan yang sentiasa mendapat rahmat dan kasih sayang dari maha pencipta... ALLAH SWT... Amin!

Tuesday, August 17, 2010

Benarkah Kita Mengikuti Sunnah Nabi Muhammad SAW....

Oleh : bang aji

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan.....

Alhamdulillah. Masih bernafas dan diberikan keizinanNya untuk bertemu lagi dengan bulan Ramadhan Al Mubarak pada tahun ini. Pejam celik pejam celik masa memang terlalu pantas...
Baru merancang dengan kak aji nak kuruskan perut yang semakin membukit...Al maklumlah membujur lalu...Melantak!

Ramadhan yang mulia ni berniatlah bang aji nak ubah cara pemakanan yang tersasar.... dapat jugak merehatkan sistem pemerosesan dalam badan selain kembali menjaga kesihatan dan keterampilan diri... bak kata kak aji dan golongan wanita yang sewaktu dengannya... Nak maintain dik non oiii!!!

Umur pun dah melangkau 40an. Malah ada dikalangan kita yang dah terlebih 40an. Bila direnung-renung sepatutnya telahpun menemui arah kebenaran... berpedoman... berpanduan... Teringat akan sirah Nabi Muhammad SAW...

Nabi Muhammad SAW mendapat wahyu pertama dan diangkat menjadi nabi dan rasul oleh Tuan Punya alam, ALLAH SWT apabila umur Baginda mencecah 40 tahun. Tetapi bukanlah bermakna Baginda baru menemui hidayah masa tu... Sebelum tu lagi dah ada panduan... Peninggalan nenek moyang, ajaran Nabi Ibrahim as. Tidak takkan Rasulullah SAW tahu solat dan tawaf mengelilingi Kaabah.

Bagaimana kita?

Memperolehi taufik dan menemui hidayahNya atau masih samar-samar...
Mencari Jalan Yang Lurus...

Sejarah mencatatkan, Rasulullah SAW berdakwah sekitar 13 tahun lamanya sebelum arahan dari ALLAH SWT agar Nabi berpindah dari Kota Mekah ke Madinah. Berhijrah...
Jika dicampur tolak, umur Rasulullah lebih kurang 53 tahun masa berhijrah.

Bagaimana kita?

Mungkin ada di kalangan kita yang sedang atau telah merancang atau memasang niat... Balik kampung kita weh!!! Tamat bekerja @ lain perkataan PENCEN... Apa lagi. Balik duduk rumah peninggalan arwah mak bapak ler ataupun upgrade... buat banglo. Iyalah... dah masuk 50an masa tu... Baru dapat berehat sikit. Dapat ler peluang bersolat di masjid, dengar kuliah atau menggaji kitab dengan ustaz-ustaz.. berwirid, bertasbih dan bertahmid. Ambil peluang puasa sunat Isnin Khamis. Itupun mungkin sebab selera telah tiada...Hmmmm... Niat di hati tu nak beribadah jer. Boleh jugak buat bekalan ke sana. Tapi kalau nak mengerjakan haji... nanti jap beb! baru nak belajar bagi faham balik. Tunggulah masuk umur 60an. Bunyipun... Baru ler betul-betul bertaubat...

Bagaimana Nabi?

Masa umur pencen kita yakni umur 50an, Nabi tak tinggal kerja berdakwah. Berjihad, berperang, memberi ilmu pada ummah walaupun usia lanjut hingga di jemput ALLAH SWT, wafat pada umur 63 tahun. Malah ada sahabat yang sanggup berjuang pada jalan ALLAH di usia 80an...

Persoalannya... Bagaimana kita? Benarkah kita menghayati ajaran Islam dengan menuruti sunnah Rasulullah. Sedangkan kita memang merancang untuk lebih banyak berehat. CUKUP sekadar tengok rancangan TV yang menarik sambil melayan cucu cicit. Sedangkan Rasulullah SAW masih meneruskan kerja-kerja Islam hingga ke lewat usia atau lain maksud, Rasulullah tak plan nak rileks macam kita pun...

So, bolehkah kita memperolehi ganjaran Syurga dari ALLAH SWT ataupun beroleh akan syafaat Nabi Nabi Muhammad SAW di akhirat kelak?

Wallahualam.

Monday, August 16, 2010

Ramadhan Bukan Hanya Makan-Makan...

Nukilan Oleh: Faisal Tehrani

Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan kepada umat-umat sebelum kamu supaya kamu menjadi orang-orang yang bertakwa."

Surah Al-A’raf ayat 31 yang bermaksud: "Makan dan minumlah kamu dan janganlah kalian berlebih-lebihan, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan".

Menurut Imam Jaafar Sadiq, “Taurat diturunkan pada 6 Ramadhan, Injil pada 12 Ramadhan, Kitab Zabur pada 18 Ramadhan dan Furqan (Al-Qur’an) pada malam Lailatul Qadar!”

Ketika Imam Sadiq ditanya tentang Lailatul Qadar, beliau mengatakan: “Carilah ia pada malam ke 19, ke 21 atau ke 23.”

Tahukah anda pada bulan Ramadhan, Rasulullah saw kehilangan DUA orang yang dicintainya, Khadijah isterinya seorang mukminah dan Abu Thalib, bapa saudaranya seorang mukmin (klik sini).

Pada 19 Ramadhan 40 H, Saidina Ali bin Abi Thalib ditetak kepalanya angkara pedang seorang durjana, Abdur­ Rahman ibn Muljam, ketika beliau sedang mengimami solat subuh, dan pada 21 Ramadhannya beliau syahid.

Pada 15 Ramadhan 2 H, penghulu pemuda syurga Saidina Hasan, cucu Nabi Saw dilahirkan.

Pada 2 Ramadhan 2 H, terjadi perang Badar yang dime­nangi oleh kaum muslimin atas orang-orang kafir Quraisy, Tentara muslimin pada saat itu hanya berjumlah 313 orang sementara kafirin berjumlah 1000 orang.

Pada bulan Ramadhan 8 H, Makkah jatuh ke tangan kaum muslimin.

Jadi tentu sahaja Ramadhan bukan hanya bulan makan-makan, dan shopping.

Thursday, August 5, 2010

Menurut Mereka...Dr. Ahmadinejad Kafir...

Oleh: Faisal Tehrani

Menurut Mereka Dr Ahmadinejad Kafir


...dia datang lambat, jadi dia solat di saf belakang seperti orang lain.


...hajinya seperti haji orang lain juga, merasai semuanya.

Saat menziarahi Nabi Muhammad saw, dia juga bersolat di raudhah.


Dia juga mencari 'ketenangan' ketika wukuf di Arafah.


Tetapi menurut sesetengah kita yang tak habis mengkaji dan mengaji - Dr Mahmoud Ahmadinejad dan sekian syiah adalah kafir. Hadis Rasulullah saw yang terdapat dalam Sahih Bukhari nombor 5752 bererti:

"Barangsiapa mengatakan kepada saudaranya dengan 'Wahai Kafir', maka kekafiran itu kembali kepada salah satunya."

Alasan mengkafirkan syiah ialah kerana mereka mengkafirkan sahabat. Kita terlupa sumber pengkafiran sahabat tersebut ada dalam sumber sunni kita sendiri.

Daripada Abu Hurairah, daripada Nabi saw.:

بَيْنَا اَنَا قَائِمٌ اِذَا زَمْرَةٌ حَتَّى اِذَا عَرَفْتُهُمْ خَرَجَ رَجُلٌ مِنْ بَيْنِى وَبَيْنَهُمْ فَقَالَ هَلُمَّ، فَقُلْتُ اَيْنَ؟ قَالَ إِلَى النَّارِ -وَاللهِ- قُلْتُ وَمَا شَأْنُهُمْ؟ قَالَ اِنَّهُمْ ارْتَدُوْا بَعْدَكَ عَلَى اَدْبَارِهِمْ القَهْقَرَى، ثُمَّ اِذَا زَمْرَةٌ حَتَّى اِذَا عَرَفْتُهُمْ خَرَجَ رَجُلٌ مِنْ بَيْنِى وَبَيْنَهُمْ فَقَالَ هَلُمَّ، قُلْتُ اَيْنَ؟ قَالَ اِلَى النَّارِ -وَاللهِ- قُلْتُ مَاشَأْنُهُمْ؟ قَالَ اِنَّهُمْ ارْتَدُّوْا بَعْدَكَ عَلَى اَدْبَارِهِمْ الْقَهْقَرَى. فَلاَ اَرَاهُ يَخْلُصُ مِنْهُمْ اِلاَّ مِثْلُ هَمَلِ النَّعَمِ.ااااابشنمبش

“Ketika aku sedang berdiri, terlihat olehku sekelompok orang. Setelah aku kenali mereka, ada seorang di antara mereka keluar dan mengajak kawan-kawannya, ‘Ayuh, mari’ Aku bertanya, ke mana? ia menjawab, ‘ke neraka,’ Lalu aku bertanya lagi, mengapa nasib mereka sampai demikian? Kemudian dijawab: ‘Sesungguhnya mereka telah murtad sejak kau tinggalkan dan berbalik ke belakang (kepada kekafiran). Kemudian terlihat sekelompok lain lagi. Ketika aku kenali mereka, ada seorang di antara mereka keluar dan menyeru kawan-kawannya: ‘Ayuh, mari’ Aku bertanya, ke mana? Ia menjawab: ‘Ke neraka’ Lalu aku bertanya lagi, mengapa mereka? dijawab: ‘Sesungguhnya mereka telah murtad sepeninggalmu dan kembali ke belakang. Kulihat tidak ada yang selamat dan lolos kecuali beberapa orang saja yang jumlahnya cukup sedikit, seperti jumlah unta yang tersesat dari rombongannya.”

* Daripada Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda:

يَرِدُ عَلِيَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ رَهْطٌ مِنْ اَصْحَابِى، فَيُحْلَوْنَ عَنِ الْحَوْضِ فَأَقُوْلُ: يَارَبِّ اَصْحَابِى. فَيَقُوْلُ: إِنَكَ لاَ عِلْمَ لَكَ بِمَا اَحْدَثُوْا بَعْدَكَ، إِنَّهُمْ ارْتَدُّوْا عَلَى اَدْبَارِهِمْ الْقَهْقَرَى.

“Akan (datang) di hadapanku kelak sekelompok sahabatku, tapi kemudian mereka dihalau. Aku bertanya, wahai Tuhanku, mereka adalah sahabat-sahabatku. Lalu dikatakan: ‘Kamu tidak mengetahui apa yang mereka perbuat sepeninggalmu. Sesungguhnya mereka murtad dan berpaling (dari agama).’ (Sahih Bukhari, 8/150.)

* Daripada Abu Bakrah, Rasulullah saw bersabda:

لَيَرِدَنَّ عَلَيَّ الْحَوْضَ رِجَالٌ مِمَّنْ صَحِبَنِى وَرَآنِي، حَتَّى اِذَا رُفِعُوْا اِلَيَّ وَرَأَيْتُهُمْ آخْتَلَجُوْا دُوْنِى فَأَقُوْلَنَّ: رَبِّ اَصْحَابِى اَصْحَابِى. فَيُقَالُ: إِنَّكَ لاَتَدْرِى مَااَحْدَثُوْا بَعْدَكَ.

“Akan datang menjumpaiku di telaga (haudh) orang-orang yang pernah bersahabat dan melihatku. Ketika mereka dihadapkan denganku, dan aku kenali mereka, mereka terpelanting dariku. Maka aku berseru, ‘Ya Rabbi, mereka adalah sahabatku.’ Lalu dijawab, ‘Engkau tidak mengetahui apa yang mereka perbuat sepeninggalmu.’ (Musnad Ahmad,5/48 dan 50.)

* Daripada Ibnu Umar, ia mendengar Nabi saw bersabda:

لاَ تَرْجِعُوْا بَعْدِى كُفَّارًا، يَضْرِبُ بَعْضُكُمْ رِقَابَ بَعْضٍ.

“Janganlah kamu kembali menjadi kafir sepeninggalku nanti, sebahagian dari kamu menebas leher sebahagian yang lain.”

Hadis yang sama juga diriwayatkan oleh Abu Bakrah, Jarir dan Ibnu Abbas daripada Nabi saw (Shahih Bukhari,9/63-64, Shahih Muslim, 1/58.)



Menyambut Pak Lah di Tehran dalam tahun 2008.


Menyambut pemimpin Hamas (Palestina) di Tehran dalam tahun 2008 juga.


Presiden Ahmadinejad berbuka puasa dengan staf di pejabatnya (kira-kira macam JPM) tahun lalu (1430 Hijrah). Tak tertanding sama sekali.

Dan begitulah, kerana tak habis mengaji dan mengkaji...Dr Ahmadinejad disalahertikan. Siapakah yang untung? Amerika Syarikat dan Zionis tentunya.

* Stail Pasukan Ragbi Perempuan Iran