Saturday, February 14, 2009

Mengekalkan Amalan Baik Sebelum dan Selepas Ibadah Haji...Suatu Cabaran



Sekadar nak berkongsi pengalaman Bang Aji ngan semua...
Almaklum, masa nak menunaikan ibadat haji memang perasaan bercampur baur...timbul rasa 'excited' malah takut pun ada... banyak dosa kita ni... tambahan bila ustaz yang memberi ceramah waktu kursus haji kerap mengingatkan tentang kesilapan lampau yang perlu kita langsaikan hutang kita dengan Allah SWT maupun manusia. Perbanyakkan bertaubat dan memohon keampunan dari Allah SWT dengan mengerjakan solat sunat taubat, solat hajat serta solat-solat sunat yang lain. Biasakan katanya.

Terngiang-ngiang lagi ungkapan Haji Bakhil dalam filem Labu Labi..."Kapal haji lagi dua bulan baru nak bertolak...Engkau dah jadik haji...Labu". Itulah kerisauan yang acap kali bermain difikiran. Alhamdulillah....semua perlaksanaan rukun dan wajib haji telah dapat dijalankan dengan sempurna. Selesai saja kerja haji terbit perasaan tidak sabar untuk pulang ke pangkuan keluarga yang ditinggalkan. Timbul di fikiran pada ketika itu, penghormatan gelaran haji pada hadapan nama sebenarnya menambahkan tanggungjawab yang perlu ditanggung terutamanya bila berhadapan dengan masyarakat setempat. Setidak-tidaknya kita telah dianggap sebagai 'orang rujukan' atau 'role model' atau silap haribulan jemaah tolak ke hadapan untuk jadi imam solat...
Sikap dan perilaku kita mestilah baik, berkata-kata dengan perkataan yang molek tanpa menggunakan kata-kata kesat atau melampaui batasan yang boleh menyinggung perasaan saudara seagama, berinteraksi dengan masyarakat setempat atau rakan taulan tanpa ada 'protokol' serta berbudi bahasa sebagaimana yang kita lakukan sewaktu berihram....seragam ...tanpa ada perbezaan pangkat kedudukan.

Memang wajar pun, seseorang yang bergelar haji atau hajjah senantiasa perlu melakukan sesuatu yang baik...malah lebih baik daripada sebelum kita pergi mengerjakan ibadah haji di Mekah. Kekadang bergantung pada keadaan...sejauh mana pengajaran atau pelajaran yang kita perolehi dalam setiap ibadah haji yang kita kerjakan sepanjang di tanah suci. Semua amalan dalam rukun dan wajib haji ada hubungkaitnya dengan persoalan akhirat dan mengingatkan kita tentang ketaqwaan pada Allah SWT selaku pemilik alam dan hari akhirat.
Sebenarnya kita tidak boleh lari dari melakukan kesilapan dan dosa terutamanya kepada Allah dan Rasul, kedua ibubapa, jiran tetangga, sahabat atau kenalan, namun kita bagaikan dilahirkan semula iaitu tidak berdosa setelah berpeluang menebus kesalahan dengan ibadah tawaf khususnya. Sehubungan itu, perlulah kita menambah koleksi pahala bukannya menambah koleksi dosa...

Justeru itu, dalam mempertingkatkan amalan dalam mendekatkan diri pada Allah SWT dan mengekalkan kelansungan pahala haji atau haji yang mabrur, para haji dan hajjah perlulah pelihara dan istiqamah dalam setiap amalan. Ini tidak...kekadang dikalangan kita masih kekal merokok, berborak di kedai kopi...para hajjah pula masih minat men'sms' calon pilihan akademi fantasia ataupun raja lawak...Ringtone bagi handphone masih kedengaran lagu-lagu nyanyian artis tanahair atau barat...

Oleh yang demikian, kaedah terbaik ialah kita perlu mengekalkan solat berjemaah setiap waktu di masjid/surau, perbanyakkan amalan solat-solat sunat dan membaca Al-Quran dan memahaminya, menjaga ketrampilan diri, isteri dan anak-anak terutama sekali penutupan aurat dan pakaian yang bersesuaian sebagai haji/hajjah, senantiasa muhasabah diri, menjaga bahasa pertuturan, berhubung rapat dengan teman yang baik seperti yang ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah Al-Kahfi ayat 28..."Dan jadikan dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang mengajakmu mengingati Allah di waktu pagi dan petang dengan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandangan wajahmu dari mereka hanya kerana mahukan kesenangan dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai dari mengingati dan mematuhi ajaran Kami di dalam Al-Quran serta ia menurut hawa nafsunya dan tingkah lakunya pula melampaui batas".

Para haji dan hajjah adalah disarankan untuk berdoa bersama ketika mula sampai ke pintu rumah sebelum menemui para ahli keluarga bagi menambahkan keberkatan dan kerinduan pada Baitullah;
"Ya Allah! Kami bersyukur padaMu kerana telah selamat sampai setelah mengerjakan ibadah haji dan umrah, namun begitu Ya Allah! jangan jadikan kunjungan ini sebagai yang terakhir.
Ya Allah! Berikanlah kami sekeluarga, kedua ibubapa kami, ahli keluarga kami peluang lagi agar kami dapat bersama-sama mengerjakan haji dan umrah pada masa akan datang.
Ya Allah! ya Tuhan kami, perkenanlah permohonan kami ini, mustajablah doa kami ini dengan berkat Nabi Muhammad SAW dan amalan kami yang ikhlas".

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment