Saturday, February 14, 2009

Azam Mendidik Anak Yang Soleh


Kita sering mendengar azam atau resolusi setiap orang dari kita bila setiap tahun menyambut tahun baru. Kebanyakan dari kita biasanya memasang niat hendak berhenti merokok, hendak kuruskan perut yang semakin tersasar, lebihkan senaman dan tukar tabiat pemakanan atau mungkin tukar kerja... Tapi apa kata tahun ini kita ubah dengan mencari azam baru atau resolusi baru untuk menjadi ibubapa yang lebih efektif dalam erti kata lain...mendidik diri dan anak-anak menjadi yang lebih soleh atau solehah...Apa mungkin terdapat teknik mendidik anak yang perlu kita ubah ataupun terdapat tabiat anak-anak kita yang perlu ditukar....

Ada pendapat pakar motivasi yang mengatakan .... "Belajarlah memahami setiap tindakan anak kerana dengan cara inilah kita berkomunikasi dengan lebih baik".

Kebanyakan dari kita sering terlupa dan tidak sedar akan pengaruh kita terhadap anak-anak yang kebiasaannya lebih cenderung mengambil sikap negatif yang ada pada kita selaku ibubapa sebagai contohnya perlakuan merokok, malas solat. Selaku ibubapa, kita sebenarnya merupakan 'model' dalam membentangkan tingkah laku yang baik terutama sekali kaedah pengurusan emosi...

Mendisplinkan diri sendiri adalah perkara yang mustahak dan paling efektif. Kaedah ini dapat membantu kita mendisplinkan diri anak-anak. Cuma displin dan hukuman bukanlah perkara yang sama. Didikan adalah sebahagian daripada displin. Jika kita menghukum anak dengan mengenakan tindakan atau mengurangkan pelbagai keistimewaan, ia mungkin tindakan yang wajar. Akan tetapi, anak kita tidak mungkin faham atau belajar atau tahu apa yang betul sehingga kita perjelaskan kepada mereka. Kaedah didikan untuk semua anak-anak berkemungkinan tidak sama kerana teknik didikan setiap anak yang hendak diadaptasikan bergantung pada individu itu sendiri. Dalam erti kata lain perlu luangkan masa untuk memahami perilaku setiap dari anak-anak kita.

Belajar berkomunikasi dengan anak adalah merupakan kemahiran penting yang perlu ada pada kita selaku ibubapa. Kita perlu bijak mencari topik yang bersesuaian untuk dibincangkan bersama. Dalam Islam, manjakan mereka dan berkawan dengan mereka apabila umur anak-anak meningkat akil baligh. Ajar anak solat bila mereka berumur 7 tahun dan rotan mereka jika mereka lalai atau tinggal solat bila umur mereka mencecah 10 tahun. Mengajak anak dan isteri solat berjemaah, memberi tazkirah pada anak-anak, membaca Al-Quran, beriadah serta menikmati makanan bersama merupakan langkah awal menangani permasalahan sosial.

Sambil itu kita perlu bersiap sedia berhadapan dengan pelbagai permasalahan yang bakal mendatang dengan kita menerapkan soal dosa dan pahala, halal dan haram, baik dan buruk dalam perbualan antara kita dengan anak-anak sebagai contoh bahayanya merokok, penyalahgunaan dadah, akibat tinggalkan aqidah Islam dan lain-lain. Nadanya perlulah dalam 'tonnasi' yang lunak didengar. Bukan dalam nada jeritan atau leteran yang boleh menipiskan gegendang telinga...

"Wahai Tuhan kami! Berilah kami beroleh dari isteri dan anak-anak kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami ketua ikutan bagi orang-orang yang mahu bertaqwa" Surah Al-Furqan, ayat 74

"Wahai Tuhan kami! Jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat kami. Wahai Allah! Perkenanlah doa permohonan kami" Surah Ibrahim, ayat 40.

Wallahualam.


No comments:

Post a Comment