Thursday, March 5, 2009

Satu Persoalan....




Hari Isnin, 9 March 2009 @ 12 Rabiul Awal 1430H adalah merupakan cuti umum bersempena sambutan hari kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Hari cuti umum begini kebiasaannya akan dipenuhi dengan program-program perarakan, ceramah dan pelbagai lagi yang dianjurkan oleh pihak jabatan agama atau mungkin pihak masjid/surau setempat. Sambutan dari masyarakat setempat dilihat memang amat memberangsangkan. Di peringkat kebangsaan, berkemungkinan akan dipenuhi dengan konsert-konsert 'amal' atau nyanyian sang artis melalui konsert terbuka atau melalui corong radio dan TV.

Itulah kita. Tiada beza antara kita dan Abu Lahab. Kemeriahan sambutan mungkin tiada tandingan... yang berbeza cuma cara lakonan kita. Persoalannya... Apakah setiap majlis yang dianjurkan berjaya memenuhi harapan kita untuk menambahkan rasa cinta dan sayang kita pada Utusan Allah, insan terpilih yang telah membawa rahmat ke seluruh alam? Adakah kita benar-benar kenal akan Rasulullah, zuriat keturunan dan ahli keluarganya? Tindak tanduk kita bagaimana? Suatu yang perlu difikirkan sejenak.

Pengalaman mengerjakan ibadah haji dan umrah tidak banyak membantu menambahkan koleksi ilmu tentang Siti Fatimah RA anak kesayangan selaku ketua wanita di syurga, Saidiana Ali KW selaku menantu yang merupakan pintu segala ilmu, Saidina Hassan dan Saidina Hussin cucu kesayangan selaku ketua pemuda di syurga. Berbagai persoalan timbul. Kenapa dalam banyak-banyak tempat ziarah tidak kira di Mekah Al Mukharamah atau di Madinah Al Munawarah, ustaz-ustaz atau pelajar Malaysia yang diberi tugas selaku tour guide jarang sekali mengkhabarkan golongan ini. Di mana kubur Siti Fatimah? Di mana tempatnya Saidina Ali sebagai pencatat perjanjian Hudaibiyah? Sedangkan Rasulullah SAW menyuruh kita menyayangi keluarganya ataupun Alhul Bait yang dibersihkan segala dosa dari mereka seperti firman Allah dalam surah As Syura, ayat 23

"Itulah yang dikhabarkan Allah untuk mengembirakan hamba-hambaNya yang beriman dan mengerjakan kebajikan. Katakanlah (Muhammad), 'Aku tidak meminta kepadamu sesuatu balasan pun atas seruanku kecuali kasih sayang pada keluargaku'. Dan barangsiapa yang mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan kebaikan baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, Maha Mensyukuri"

"Dan laksanakanlah solat, tunaikan zakat dan taatlah Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu wahai Ahlul Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya" Surah Al Ahzab, ayat 33.

Hasil pembacaan juga tidak banyak yang mencatatkan hadith-hadith yang telah diriwayatkan oleh mereka ini. Terfikir juga, apakah ahli keluaraga Rasulullah kurang meriwayatkan hadith-hadith atau memang ada tangan-tangan hitam dikalangan pemimpin kerajaan Islam dahulu dan sekarang yang cuba menutup atau menyembunyikan kisah Ahlul Bait ini. Tapi apa tujuannya? Jika berpeluang mengkaji sejarah atau menonton kisah 'Imam Hussain : Tragedi Karbala' pasti akan sedikit terungkai persoalan tersebut.

Pengajian kita tentang sejarah Islam berkemungkinan telah di putarbelitkan. Apa tidaknya. Kita telah difahamkan bahawa Khalifah Muawiyah adalah salah seorang pencatit wahyu, sedangkan beliau memeluk Islam pada ketika berumur 53 tahun serta merupakan seorang ahli politik dan orang yang mengistiharkan perang dengan Ahlul Bait, Saidina Ali, sehingga terbunuh pada ketika pemerintahan Khalifah ke 4 tersebut. Malahan Muawiyah telah mewarisi pemerintahannya kepada anaknya Yazid yang telah mengarahkan Saidina Hussain dibunuh di Karbala' dan kepalanya di bawa ke Khuffah sebagai bukti.

Pernahkah kita terfikir kenapakah pemerintahan Khalifah Islam sering bertukar lokasi dari satu tempat ke satu tempat sedangkan Rasulullah SAW telah mengasaskan pusat pentadbiran di Madinah. Tidak lain hanyalah merupakan satu cubaan menutupi agenda tersembunyi pemerintah ketika itu berhubung Ahlul Bait yang memang dikenali oleh penduduk Madinah yang telah dianggap oleh pemerintah sebagai golongan pemberontak. Ahlul Bait pemberontak? Sedangkan Allah SWT memuliakan mereka.

Jika kita renung kembali sejarah pasti terfikir. Mengapa empat (4) Imam Mazhab yang terbesar pun pernah diseksa oleh pemerintah yang bergelar Khalifah Islam? Ada yang di atas alasan menolak jawatan yang ditawarkan untuk menjadi Mufti. Mana rasionalnya?

Tapi itulah permasalahannya. Bagi kita yang hendak mengetahui lebih lanjut tentang Ahlul Bait terutama sekali Saidina Ali KW akan dengan mudah sekali dicop oleh segolongan pihak sebagai SYIAH. Sedangkan syiah itu bermaksud pengikut. Siapa yang mula melabelkan?

Ada khabar-khabar yang diterima mengatakan bahawa keluarga beraja berketurunan Saud selaku penjaga dua kota suci ini adalah merupakan susur galur dari keturunan pemerintahan Khalifah Muawiyah dan Yazid. Satu Persoalan....


No comments:

Post a Comment